Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 18, 2016

BAWA KELUAR SURAT ANWAR DARI PENJARA SATU KESALAHAN


Nur Jazlan Mohamed


Kuala Lumpur - Tindakan individu yang membawa keluar surat bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara merupakan satu kesalahan dan boleh diambil tindakan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata Akta Penjara 1995 menyatakan seseorang yang menyeludup atau cuba menyeludup barang larangan masuk atau keluar dari penjara sebagai satu kesalahan.

Akta Penjara memperuntukkan barang larangan dibawa masuk atau keluar adalah dadah, wang atau arak dan termasuk alat atau artikel seperti ditetapkan Komisioner Jeneral dari semasa ke semasa.

"Sepatutnya kena ada siasatan, tetapi surat telah pun keluar...Jabatan Penjara perlu berhati-hati selepas ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata Anwar diberi banyak keistimewaan termasuk boleh berhubung dengan anggota keluarga dan peguamnya dengan kerap, memungkinkan penyeludupan keluar surat berkenaan. 

"Bila banyak perhubungan antara keluarga, peguam dan pihak lain, ada banyak peluang surat itu boleh dibawa keluar," katanya.

Sebuah portal media sebelum ini melaporkan Anwar menulis sepucuk surat kepada pimpinan PKR yang mendakwa Deklarasi yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tidak sempurna dan lari dari agenda reformasi sebenar.

Sementara itu, mengulas mengenai peraturan larangan keluar negara selama tiga tahun ke atas individu yang memburukkan negara, Nur Jazlan menasihatkan ahli politik dan aktivis yang cenderung membuat kenyataan menjatuhkan imej negara supaya memeriksa nama mereka dengan Jabatan Imigresen.

"Macam Maria Chin Abdullah (Pengerusi Bersih 2.0), dia patut periksa terlebih dahulu sama ada nama disenarai atau tidak. Seperti (kartunis) Zunar juga, dia juga patut periksa," katanya.

Maria pada Isnin tidak dibenarkan melepasi kaunter imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika mahu berlepas ke Korea Selatan.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Sakib Kusmi mengesahkan kewujudan peruntukan larangan keluar negara berkenaan sambil menambah bahawa pemilikan pasport antarabangsa Malaysia adalah satu keistimewaan dan bukan hak.


0 comments:

share2