Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, May 14, 2016

'SAYA BANTU TAK KIRA BANGSA'


'Saya bantu tak kira bangsa'


Seremban - Walaupun usia sudah menjangkau warga emas, dia masih lagi kuat dan bertenaga untuk terus memberikan khidmat serta menabur bakti dalam membantu golongan memerlukan.

Dari segi tutur dan tenaganya seakan seperti orang muda dan begitu mesra bercerita di sebalik penglibatannya dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

K Thyaleesvari, 78, diibaratkan sebagai wanita besi di dalam Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Cawangan Bandar Seremban, di mana telah tiga tahun menjadi nakhoda pertubuhan itu dalam melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan membantu golongan yang memerlukan.

Selain itu, beliau turut menjadi ahli dalam Lions Club, Young Women Christian Assiosiation (YWCA) dan Persatuan Pandu Puteri.

Menurut Thyaleesvari, membantu masyarakat memerlukan daripada pelbagai bangsa menjadi satu kepuasan pada dirinya sejak dia berkecimpung dalam NGO.

“Memang saya suka menolong orang yang susah, tidak kiralah orang itu bangsa Melayu, Cina, India ataupun lain-lain bangsa. Saya akan lega apabila melihat mereka senyum dengan pemberian bantuan disampaikan.

“Ada satu bantuan yang saya ingat sampai ke hari ini adalah apabila saya membantu seorang ibu tunggal yang ketika itu kehilangan suami serta seorang anaknya.

“Ketika itu, dia tiada tempat untuk mengadu nasib dan bergantung harap selepas kehilangan orang tersayang. Walaupun saya tidak dapat menggantikan nyawa yang hilang, sekurang-kurangnya dengan bantuan yang diberikan kepadanya bolehlah meringankan beban yang ditanggung,” katanya.

NGO ibarat rumah kedua

Beliau yang merupakan bekas guru turut bercerita, sejak aktif dalam WI, memang banyak pengalaman yang berharga dikecapinya bersama dengan ahli-ahli pertubuhan, di mana kesemua mereka diibaratkan seperti keluarga.

“Saya tidak menjadikan berlainan bangsa sebagai penghalang untuk saya bergaul rapat dengan kebanyakan ahli pertubuhan yang berbangsa Melayu.

“Semua orang saya bergaul, sebab saya suka bergaul. Malah ketika Tunku Datuk Fatimah Tunku Sulaiman menjadi Pengerusi WI Cawangan Bandar Seremban pada tahun 80-an, saya anggap beliau sebagai kakak.

“Memang kami rapat pada ketika itu, saling bertukar pendapat, cadangan serta berkongsi kisah kehidupan masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, Fatimah sudah meninggal dunia akibat sakit tua dan dia memang rasa seperti suatu kehilangan.

“Beliau amat peramah, dan seorang yang sangat suka membantu orang lain. Beliau seperti kakak kepada saya.

“Walaupun tiada pengganti seperti diri beliau, namun ahli-ahli lain juga saya anggap seperti keluarga sendiri,” katanya.

Thyaleesvari berkata, perkongsian ilmu, pendapat, cadangan dalam kalangan ahli persatuan pelbagai bangsa turut membuatkannya senang untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja.

“Walaupun ramai kalangan ahli kaum Melayu, tetapi ia tidak menjadi halangan untuk saya menerima apa saja pendapat mereka asalkan ia memenuhi apa yang difokuskan.

“Kami juga saling hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, Thyaleesvari turut meluahkan pendapat peribadinya mengenai penglibatan golongan muda yang jarang bergaul dengan masyarakat berbanding orang dulu-dulu dalam NGO.

“Bukannya tidak ada dalam kalangan golongan muda terlibat dalam NGO, tetapi amat kurang.

“Walaupun persatuan ini dianggotai ahli dalam kalangan orang lama, namun kami amat memerlukan pelapis genarasi kini.

“Siapa lagi yang akan naungi persatuan ini kalau bukan daripada kalangan pelapis,” katanya.


0 comments:

share2