Pernah dikejar dengan parang, antara pengalaman sukar dilupakan Penghulu Mukim Pedah.
Detik cemas itu dilalui Mohd Zahar Wahid, 52, ketika berkhidmat sebagai Penghulu Mukim Chenor.
Bercerita lanjut mengenai kejadian itu, beliau berkata, sebelum kejadian, dia sedang memandu kereta di sekitar kawasan bandar Jengka dan menyedari sebuah kenderaan mengekorinya.
Katanya, tidak berpuas hati dengan situasi itu, beliau memberhentikan kereta untuk bersemuka dengan pemandu terbabit.
Menurutnya, bagaimanapun belum sempat dia berbuat apa-apa, pemandu terbabit terus meluru ke arahnya sambil mengacukan sebilah parang tajam ke kepalanya.
“Saya kenal lelaki itu. Dia kata tak puas hati dan tuduh saya sekat media dari menyiarkan kesusahan hidupnya sedangkan ia bukan salah saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.
Mohd Zahar berkata, beliau bersyukur kerana dapat mengawal perasaan lelaki terbabit dari mencederakannya namun terkilan kerana dipersalahkan.
Suami Rusnizan Yahya, 49, itu berkata, insiden tersebut hanya sebahagian dari pengalamannya menjadi penghulu sejak 16 Januari 2001.
Penghulu yang berasal dari Maran itu memulakan tugasnya di Mukim Perak, Temerloh sehingga 1 Jun 2006.
“Saya kemudiannya bertukar ke Mukin Chenor, Maran bermula 16 Januari 200f sehingga 15 November 2012 sebelum bertukar ke Mukim Pedah, Jerantut dan naik pangkat kepada gred 32 pada 16 November 2012 sehingga kini,” katanya.
Beliau dilantik sebagai Ahli Jemaah Pangkuan Diraja Negeri mewakili penghulu bagi Hulu Negeri oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
Selain menjalankan tugas sebagai penghulu, bapa seorang anak berusia 25 tahun itu bergiat aktif dalam NGO dan merupakan Pengerusi Koop Risda Daerah Kuantan dan Maran dan merupakan Timbalan Pengerusi Permuafakatan Komuniti 1Malaysia (K1M) Negeri Pahang.
Mohd Zahar berkata, dia terkilan dengan sikap sesetengah individu yang sanggup menipu demi mendapatkan bantuan dari kerajaan.
“Penipuan terbabit termasuklah dari segi pengakuan penghulu untuk mendapatkan kerakyatan dan sijil kelahiran yang kononnya didaftarkan lewat di mana pengesahan perakuan perlu dilakukan secara berhati-hati,” katanya.
0 comments:
Post a Comment