Putrajaya - Pencarian bangkai helikopter AS350 yang terhempas di Batang Lupar, Sarawak pada Khamis lepas masih diteruskan bagi membolehkan siasatan punca berlakunya kemalangan itu dijalankan, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.
Beliau berkata operasi mencari dan mendapatkan bangkai pesawat itu diketuai DCA bersama-sama dengan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) dan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).
Ia juga dibantu pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, polis marin, Tentera Laut Diraja Malaysia, Lembaga Sungai-sungai Sarawak dan agensi lain yang berkaitan, katanya.
"Pihak DCA akan memaklumkan sebarang perkembangan berhubung operasi mencari dan mendapatkan bangkai pesawat ini dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam insiden pada 5 Mei lepas, helikopter yang membawa lima penumpang serta juruterbang dilaporkan hilang pada 4.12 petang sejurus berlepas dari Betong untuk ke Kuching.
Mereka yang terkorban dalam nahas itu ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon dan suaminya Asmuni Abdullah, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Ketua Setiausaha kementerian tersebut Datuk Dr Sundaran Annamalai dan juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas.
Azharuddin berkata operasi mencari dan menyelamat bagi insiden itu dihentikan secara rasmi susulan penemuan mayat terakhir pada 10 Mei.
"Pencarian bangkai pesawat masih diteruskan bagi membolehkan siasatan punca berlakunya kemalangan dapat dijalankan bagi memastikan insiden seumpama ini tidak akan berulang pada masa yang akan datang," katanya.
0 comments:
Post a Comment