Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, May 29, 2016

[KUANTAN] TERGAMAM LIHAT RUMAH LESAP


Ribut


"Saya bersyukur tidak meneruskan perjalanan semasa ribut. Jika tidak sudah pasti kami sampai lebih awal di rumah dan mungkin berlaku kemalangan jiwa," demikian reaksi seorang mangsa ribut di sini kelmarin.

Pekerja swasta Abd Shukor Mohd Jusoff, 55, yang merupakan seorang daripada lapan mangsa yang mengalami kerosakan rumah dalam kejadian ribut di Kampung Tebing Tinggi berkata kejadian berlaku semasa beliau dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengambil anak bongsunya yang tinggal di asrama, sekitar jam 4.10 petang.

"Saya sudah hampir tiba ke rumah tapi terkejut dan takut untuk terus memandu

kerana melihat atap sebuah rumah di simpang masuk ke rumah saya diterbangkan angin selain beberapa pokok bergoyang dengan kuat," katanya semasa ditemui di rumahnya hari ini.

Abd Shukor menambah beliau hanya mampu tergamam apabila melihat sebahagian struktur hadapan rumahnya yang diperbuat daripada kayu 'lesap' manakala sebahagian atap rumah tersangkut di bahagian pagar rumah.

Beliau berkata, kejadian itu merupakan dugaan kedua keluarganya pada minggu ini memandangkan rumah yang didiaminya sejak 16 tahun lalu turut disambar kilat pada Rabu lalu sehingga menyebabkan bekalan elektrik terputus.

"Sejak Rabu kami tidur di rumah adik saya kerana gelap. Bagaimanapun, malam tadi kami terpaksa juga tidur di rumah kami kerana bimbang dengan barang-barang yang ditinggalkan memandangkan rumah kami sudah terlopong.

"Nasib baik bahagian dapur masih elok, cuma sedikit bahagian bumbung yang bercantum dengan bahagian ruang tamu tiada. Saya bernasib baik tiada hujan sejak selepas ribut berhenti," katanya yang sedang bercuti hingga Isnin untuk menguruskan keadaan rumahnya.

Abd Shukor berkata beliau mengaggarkan kerugian mencecah RM30,000 memandangkan semua barang di ruang tamu dan dua bilik rosak kerana dibasahi air hujan.

Sementara itu pekerja Alam Flora Sdn Bhd, Kamarul Shahrizan Abdul Rahim, 29, berkata, semua bumbung rumahnya diterbangkan dan menghempap pula rumah ibu saudaranya Rapiah Ali, 56, yang terletak selang tiga buah rumah daripada rumahnya.

Beliau berkata, kejadian itu merupakan kali pertama sejak beliau tinggal di kampung tersebut sejak berusia 10 tahun lalu dan beliau kini menumpang rumah ibu saudaranya di Kampung Cherok Paloh.

"Abang saya telefon beritahu (mengenai ribut) kerana kebetulan dia datang tumpang berehat di rumah. Dia cuma suruh saya balik segera kerana katanya bumbung sekeping pun dah tak ada...kena ribut.

"Abang tak boleh bercakap banyak. Mungkin terkejut. Dia pun hanya sempat mencapai telefon bimbit sebelum keluar menyelamatkan diri," katanya yang menjaga rumah pusaka yang menjadi tempat mereka enam beradik berkumpul terutama pada hari raya.

Kamarul Shahrizan turut berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Ugama dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang segera menghantar wakil bagi menilai kerugian selain syarikatnya memberi cuti ehsan sehingga Rabu.

Sementara itu, Rapiah berkata beliau baharu menjengah keadaan rumahnya pagi tadi kerana bimbang melihat bumbung rumahnya yang condong akibat dihempap atap zink rumah Kamarul Shahrizan.

Selain rumah penduduk, turut terjejas akibat ribut ialah surau di kampung itu yang kehilangan sebahagian besar bumbung akibat diterbangkan ke bahagian belakang surau dan tanah lapang berhampiran.


0 comments:

share2