Pelakon kacak Tony Eusoff atau nama sebenarnya Anthony Joseph Anak Hermas Rajiman telah dihadapkan ke sebuah mahkamah di Singapura pada Khamis atas tuduhan memiliki dadah.
Memetik laporan portal Berita Harian Singapura, Tony Eusoff, 38, didakwa memiliki dadah terkawal Kelas A, Akta Penyalahgunaan Dadah di republik tersebut.
Dadah Kelas A disifatkan sebagai dadah paling berbahaya dan boleh menyebabkan ketagihan serius.
Portal tersebut turut melaporkan Tony dipercayai memiliki satu paket yang mengandungi tidak kurang daripada 4.56 gram cebisan bahan sayuran yang dianalisis dan didapati mengandungi campuran ganja.
Pelakon kelahiran Sarawak ini didakwa memiliki dadah di balai ketibaan bas Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 12 Mac lalu.
Difahamkan, Tony berada di Singapura untuk menjalani penggambaran drama The Hush terbitan Weiyu Films, yang difahamkan bakal ditayangkan mulai bulan depan.
Jika sabit kesalahan, Tony boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga S$20,000 (kira-kira RM57,775) atau kedua-duanya sekali.
Sebutan semula kes ini akan dibuat di Mahkamah Negara, Singapura pada 12 April ini.
Tony sememangnya terkenal sebagai pelakon berbakat dan pernah mengalas watak utama sebagai Tan Sri P.Ramlee dalam teater P.Ramlee The Musical.
0 comments:
Post a Comment