Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 1, 2016

'SAYA DIHERET TSUNAMI SEJAUH 2 KILOMETER'


 'Saya diheret tsunami sejauh 2 kilometer'


Masih segar diingatannya, kejadian tsunami yang berlaku 12 tahun lalu dan tidak akan dilupakannya sama sekali. Mana tidaknya kejadian alam luar biasa itu telah menyebabkan isteri serta seorang anaknya sehingga kini 'hilang' entah ke mana setelah tsunami melanda Aceh pada 26 Disember 2004.

"Pada hari kejadian ada kenduri di kampung, saya baru pulang setelah selesai rewang memotong daging, hasratnya saya mahu menunaikan solat sunat Dhuha, (sekitar 8 pagi) saya masuk ke bilik air untuk mengambil wuduk.

"Saya tukar pakaian dan lantas memakai kain sarung, ketika mahu mengambil wuduk saya terdengar bunyi dentuman seperti bom yang sangat kuat, bunyi itu dapat didengar sebanyak dua kali.

"Tiba-tiba isteri saya berteriak katanya: 'Keluar, gempa!'

Saya pun keluar, sampai di luar ‎semua orang sudah keluar. 'Ke mana kita mahu pergi ini?' laung orang ramai. Ketika itu semua orang berada dalam keadaan bingung.

"Ketika itulah saya pesan kepada keluarga saya bahawa jangan lupa syahadah. Tiba-tiba ada orang datang memberitahu 'air laut naik' ‎jadi selepas itu saya naik ke atas bumbung rumah dan nampak air naik tinggi, warnanya kuning kehitaman-hitaman, tidak lama kemudian air itu menerjah ke kawasan kampung saya," demikian ujar Imam masjid 'tsunami' Sulaiman Mohd Amin,65, kepada Sinar Online ketika mengamit kejadian hitam itu 12 tahun lalu, Sulaiman ditemui di Masjid Rahmatullah, Aceh baru-baru ini.

Ujarnya, selepas ketibaan air kuning itu, dia sudah dibawa arus dan tidak tahu nasib isteri, anak dan orang kampung yang lain.

"Saya tutup mata dan mulut. Apa yang pasti saya ingatkan saya pasti mati hari itu. Tapi entah bagaimana ALLAH hendak tolong saya, saya dapat berpaut pada pokok dan kayu yang dibawa arus itu.

"Waktu itu air sudah naik sampai sepuluh meter, dari jauh saya dapat lihat kampung saya sudah jadi sebuah lautan, masjid pula hanya nampak kubah," katanya.

DIBAWA KE SEBUAH BUKIT

"Perjalanan saya oleh arus itu sejauh dua kilometer ‎, saya dibawa ke kampung seberang dan terdampar di sebuah bukit.

"Bayangkan perjalanan itu bermula dari pagi sehinggalah waktu Maghrib tiba, saya hanya solat hormat waktu, untuk Zohor, Asar dan Maghrib," katanya.

Sementelah tiba di bukit itu, Sulaiman berkata dia dipertemukan dengan seorang yang membantunya.

"Alhamdulillah saya diberi minum dan makanan, sesudah semalaman saya di bukit berkenaan. Keesokannya saya pulang ke kampung.

"Masya-ALLAH sampai di kampung tiada apa yang tinggal, saya ada jumpa beberapa orang yang terselamat, saya tanya bagaimana kampung kita, kata mereka rumah kita tiada lagi, keluarga pun sudah tiada," katanya.

Mengakhiri bicaranya Sulaiman berkata, walaupun dia dilanda dengan ujian itu, namun dia reda dan percaya bahawa ada hikmah disebalik apa yang berlaku.

"Ini ujian saya daripada ALLAH, banyak hikmah yang dapat daripada kejadian ini," katanya.

Katanya, dalam bencana itu hampir 600 penduduk kampungnya meninggal dunia.

Masjid Rahmatullah merupakan masjid yang menjadi bukti bahawa ALLAH memelihara 'rumahnya'.

Pada tanggal 24 Disember itu, boleh dikatakan hampir keseluruhan kawasan sekitar masjid musnah kecuali masjid itu yang kekal utuh.

Masih ada sedikit kerosakkan di masjid itu, dan sehingga kini ia masih tidak dibaiki bagi 'mengenangkan' tinggalan tsunami untuk tatapan generasi sekarang.

Sulaiman kini hanya memiliki seorang anak selepas dua anaknya mati, seorang ketika kejadian tsunami dan seorang lagi meninggal sebelum tsunami.

Tambahnya, isterinya turut meninggal ketika kejadian tsunami itu.

AL-FATIHAH


0 comments:

share2