Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 23, 2016

60 PASANGAN PENGANTIN KENA TIPU


Datuk Nadzim Johan


Kuala Lumpur - Sebuah syarikat perancang perkahwinan didakwa telah menipu pelanggannya dengan menawarkan pakej perkahwinan murah sebelum bertindak menghilangkan diri.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan turut mendakwa terdapat hampir 60 pasangan telah ditipu syarikat berkenaan sejak tahun lepas.

"Setakat ini, kami menerima 10 aduan dari mangsa syarikat itu dan kami yakin lebih ramai akan tampil membuat aduan.

"Pakej yang ditawarkan syarikat itu termasuklah dua set pakaian pengantin, pelamin, jurugambar, pintu gerbang, solekan dan 'photo booth'... kesemuanya ini hanya dikenakan dengan serendah RM1,000 hingga RM3,000," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Nadzim berkata modus operandi yang digunakan syarikat itu adalah dengan menyertai ekspo perkahwinan yang besar untuk mencari mangsa yang ingin berkahwin.

"Melalui ekspo itu, mangsa dikehendaki membayar sebanyak RM200 sebagai wang pendahuluan dan diminta menyelesai kesemua baki bayaran dalam tempoh sebulan," katanya sambil menambah syarikat itu turut menggunakan nama yang berbeza di setiap ekspo yang disertai bagi mengelak daripada dikesan mangsa sebelum ini. 

Salah seorang mangsa, Siti Zulekha Ibrahim, 31, yang hadir pada sidang media itu mendakwa beliau beberapa kali telah cuba menghubungi wakil syarikat berkenaan, namum tidak berhasil.

"Perkara ini telah dirujuk kepada Pihak Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, namun tribunal memaklumkan tiada sebarang tindakan dapat diambil kerana syarikat berkenaan yang beralamat di Temerloh, Pahang dan Bangi, Selangor telah berpindah dan tidak dapat dikesan.

"Saya dan beberapa mangsa yang lain turut membuat beberapa laporan polis bagi mengelak syarikat ini terus menipu orang ramai," katanya.


0 comments:

share2