Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 17, 2016

TERGAMAM BUMBUNG RUMAH TERANGKAT


Tergamam bumbung rumah terangkat


Pontian - “Saya tergamam melihat bumbung rumah jiran Alijah Gonin, 51, terangkat dan diterbangkan angin ribut yang begitu kuat,” kata Sharifah Aina Saban, 46, menceritakan semula detik-detik cemas menghadapi ribut di Kampung Parit Sapran, di sini, petang kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.20 petang itu, turut menjejaskan tiga buah rumah penduduk lain di kawasan berkenaan.

Sharifah Aina berkata, kejadian itu menyebabkan seluruh tubuh badannya menggigil melihat hampir keseluruhan bumbung rumah jirannya terangkat dan diterbangkan angin ribut.

Menurutnya, keadaan cuaca sebelum itu tidak menunjukkan tanda ribut akan berlaku dan hanya hujan renyai.

“Kejadian ini menakutkan kerana ia berlaku secara tiba-tiba, saya minta anak-anak melaungkan azan agar keadaan ribut segera reda.

“Dalam tempoh kira-kira 15 minit kemudian, angin ribut mula reda dan saya segera ke rumah jiran yang terletak hanya 20 meter untuk memberikan bantuan,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, jirannya, Alijah berkata, dia tidak sedar bumbung rumahnya sudah diterbangkan angin ribut kerana tidak mendengar sebarang bunyi deruan angin mahupun bunyi bising.

Menurutnya, dia dan suami Mahad Iman, 61, hanya sedar tentang kejadian itu selepas mendengar jeritan jiran memanggilnya keluar dari rumah kerana bumbung rumahnya sudah tercabut.

“Sebaik keluar dari rumah saya dan suami terkejut melihat kepingan zink dan kayu bumbung rumah berselerakan di dalam kawasan kebun kelapa sawit di sebelah rumah.

“Hujan lebat turun selepas itu menyebabkan ruang tamu rumah dipenuhi dengan air.

“Kejadian ini pertama kali saya alami selepas bertahun-tahun saya tinggal di sini,” katanya.

Jelasnya, meskipun tidak mengalami kecederaan namun kejadian itu meninggalkan kesan mendalam kepadanya.

“Bila nampak langit mula mendung hati saya mula berdebar, bimbang jika kejadian bumbung rumah diterbangkan angin akan berlaku kembali.

“Mujur jiran saya cepat datang ke rumah dan meminta saya dan suami segera keluar dari rumah ketika kejadian ribut itu berlaku,” katanya.

Menurut Alijah, dia berharap agar bumbung rumahnya segera dibaiki bagi membolehkan dia dan suami meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Syukur, ramai yang tampil membantu termasuk Majlis Agama Islam Johor," katanya.


0 comments:

share2