Alor Setar - Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut selepas terjatuh di tanah perkuburan ketika sedang mengambil madu kelulut di Kampung Tengah, Mukim Kurung Hitam, Kuala Nerang tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Nasir Jaafar berkata, dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa Mohd Afizuddin Fazil mengambil madu kelulut untuk dijual bagi membaiki telefonnya yang rosak.
"Mangsa pergi bersama seorang lagi rakannya yang hanya dikenali sebagai Amirul berusia lingkungan 16 tahun. Kakak mangsa meminta mangsa pergi mencari madu kelulut untuk mendapatkan wang bagi membaiki telefonnya," katanya ketika dihubungi Bernama.
Bagaimanapun, ketika sedang mengambil madu kelulut, mangsa terjatuh daripada ketinggian 35 hingga 40 kaki.
"Mangsa masih hidup selepas terjatuh dan rakannya kemudian membawa mangsa balik ke rumah sebelum dihantar ke Hospital Kuala Nerang untuk rawatan.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia jam 2 petang tadi," katanya.
Nasir berkata, polis masih menjalankan siasatan dan ketika ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
0 comments:
Post a Comment