Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 17, 2016

POLIS NAFI VIRAL BERLAKU KES CULIK


Polis nafi viral berlaku kes culik


Seremban - Polis menafikan berlakunya kes penculikan seorang kanak-kanak di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban yang menjadi viral.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya akan mengesan individu yang menyebar berita palsu itu.

"Saya ingin tegaskan bahawa tidak ada kes ini berlaku. Ini adalah tindakan individu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita tidak benar dan mengikut tanggapan, andaian dan rekaan sendiri.

"Saya akan mengesan si penyebar berita ini kerana tindakan menyebar berita yang tidak benar telah menyebabkan kegusaran masyarakat,"katanya di sini, semalam.

Menurutnya, kes itu merujuk kes sebenar yang berlaku di kawasan hentian bas di HTJ di mana berlaku perselisihan faham suami isteri.

"Si isteri hendak pulang ke kampungnya di Felda Labu bersama anaknya berusia dua tahun tetapi dihalang suami yang mahu tinggal di Seremban untuk mencari kerja.

"Si suami bertindak mengambil anak tersebut dan lari ke arah hospital dan dikejar oleh isterinya. Si isteri minta bantuan dan bertanya orang ramai yang berada di situ jika nampak kelibat anaknya dan seorang pengawal keselamatan yang nampak anaknya telah menyerahkan pada ibunya sementara si suami menghilangkan diri,"katanya.

Muhamad Zaki berkata, ibu kanak-kanak tersebut ada membuat laporan polis terhadap kejadian itu.

"Ibunya mendakwa suaminya merupakan bapa tiri kepada anaknya dan pernah memukul anaknya sebelum ini.

"Kita telah bawa budak tersebut untuk pemeriksaan dan mendapati terdapat kesan lebam lama pada tubuhnya. Siasatan lanjut akan dibuat sekiranya terdapat unsur penderaan,"katanya.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta kanak kanak 2001 dan polis akan mengesan lelaki tersebut utk mendapatkan cerita sebenar.


0 comments:

share2