Aksi pusingan ketiga Piala FA 2016 berdepan Sime Darby FC di Stadium Darul Makmur, malam esok akan menjadi detik penting buat pengendali Pahang, Ahmad Shaharuddin Rosdi.
Ini berikutan pengesahan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) yang mendedahkan pengendali berusia 40 tahun itu bersedia menerima sebarang keputusan jika skuad kendaliannya gagal melangkah ke suku akhir.
Pengurus pasukan, Datuk Che Nasir Salleh menyatakan perlawanan tersebut akan menjadi penentu karier Ahmad Shaharuddin selepas ini sama ada kekal ataupun sebaliknya berikutan aksi kurang memberangsangkan setakat ini dengan kekalahan kali ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Super 2016.
“Berdasarkan perbincangan diadakan semalam (kelmarin), ia berjalan dalam suasana harmoni dan Shaharuddin dengan rela hati menerima apa juga keputusan daripada pihak tertinggi PBNP yang akan diambil terhadapnya," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Che Nasir berkata, pihak pengurusan tidak memberikan tekanan tetapi Shaharuddin sedar dengan prestasi pasukan dan bersedia untuk menerima apa saja keputusan jika skuad itu gagal lagi.
“Namun pihak pengurusan masih belum putuskan sebarang tindakan bakal dikenakan dan mengharapkan keputusan positif mampu diraih Sabtu ini (malam esok),” katanya.
Skuad itu dirundung kekalahan terbaru pada Selasa lalu tewas tipis 1-2 di tangan Terengganu di halaman sendiri dan sebelum itu tewas 1-3 di tangan Selangor dan 1-4 (Pulau Pinang) dalam saingan Liga Super.
0 comments:
Post a Comment