Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 25, 2016

KESAN GEGARAN LEBIH MUDAH, CEPAT


Kesan gegaran lebih mudah, cepat


Ajil - Tenaga Nasional Berhad (TNB) merancang untuk memasang alat pengesan gegaran tambahan di Tasik Kenyir sebagai langkah awal mengesan sebarang bentuk gegaran yang berlaku di kawasan tasik berkenaan pada masa akan datang.

Pengurus Besar Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) Kenyir, Mustafa Hashim berkata kos pemasangan alat berkenaan dianggarkan RM300,000 dan ia kelak dapat menyalurkan maklumat membabitkan sebarang gegaran secara ‘online’ ke ibu pejabat TNB.

“Sistem yang diguna pakai pada alat pengesan gegaran ini turut dapat salurkan maklumat terus kepada Jabatan Meteorologi Malaysia dan ia dilihat sememangnya lebih praktikal diguna di kawasan Tasik Kenyir sebagai tambahan alat pengesan sedia ada.

“Buat masa ini terdapat satu alat sistem pengesan gegaran di sana (Tasik Kenyir) dan berdasarkan perancangan, kita bercadang untuk memasang tambahan empat atau lima unit lagi supaya mampu memudahkan atau mempercepatkan lagi pengesanan gegaran yang berlaku.

“Gempa bumi lemah berukuran 2.7 skala richter pada bulan lalu juga tidak jejaskan struktur empangan atau bangunan. Malah, sebelum ini pernah berlaku gegaran lebih kuat dan ia juga tidak menjejaskan apa-apa.

“Kita harap orang ramai tidak terus membuat spekulasi membabitkan empangan kerana pemeriksaan dijalankan secara konsisten dan berkala sama ada secara harian, bulanan atau tahunan bagi menjamin tahap keselamatan empangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Bersama TNB Peringkat Negeri Terengganu di sini, semalam yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib.

Ketika diminta mengulas tindakan berhubung fenomena El Nino, Mustafa berkata pihaknya turut mengambil langkah mengawal penggunaan air dalam penjanaan elektrik di empangan itu.

“Walaupun negara kini berdepan fenomena El Nino, namun paras air di tasik masih terkawal dengan mencatatkan bacaan di paras 140.3 meter. Paras air paling rendah pernah dicatatkan ketika musim kering atau kemarau begini ialah sekitar tahun 1990-an dulu iaitu 133 meter,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Besar TNB Negeri Ir Saharenam Mukhtar berkata, TNB memperuntukkan perbelanjaan modal RM26.15 juta bagi menyediakan infrastruktur dan rangkaian kabel serta pencawang bagi pastikan bekalan elektrik pada tahap berdaya harap yang tinggi di negeri ini.

“TNB negeri juga sentiasa berusaha memastikan gangguan bekalan elektrik dapat dikurangkan dan di daerah Hulu Terengganu tahap selama 33.26 minit bagi setiap pengguna,” katanya.


0 comments:

share2