Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, March 2, 2016

JANGAN LUPA PERBUATAN ZALIM MAHATHIR! - PAS




Kuala Lumpur – PAS mengingatkan masyarakat terutama ahli dan para penyokongnya supaya tidak terlupa tentang perbuatan zalim Tun Dr. Mahathir Mohamad ke atas mereka sewaktu pernah mentadbir negara ini.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, rakyat tidak boleh melupakan perkara itu begitu sahaja hanya kerana Mahathir mengumumkan penentangannya ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“PAS sudah lupakah peristiwa Memali? Suka saya sebut, Mahathirlah yang bertanggungjawab kerana waktu itu beliau adalah Perdana Menteri. Sehingga hari ini belum kedengaran lagi beliau ada mohon maaf.

“PAS sudah lupakah ramai pimpinan PAS terdahulu ‘disumbat’ dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dipenjara dan dibelasah oleh anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

“Suka saya nyatakan bahawa Mahathirlah yang bertanggungjawab kerana waktu itu beliau adalah Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan rasmi media di sini hari ini.

Najib selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri bagaimanapun telah memansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri 1959 yang didakwa sebilangan masyarakat sebagai suatu akta yang zalim.

Justeru, Nasrudin meminta masyarakat terutama ahli dan penyokong PAS mengingati kezaliman Mahathir selama lebih 22 tahun sebagai Perdana Menteri tersebut berbanding pemerintahan Najib yang masih baru.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas seruan Mahathir supaya semua pihak termasuk pemimpin dan ahli parti pembangkang menyertai perjuangan peribadinya untuk segera menjatuhkan Najib.

Malah, Mahathir menggunakan strategi keluar UMNO seperti beliau lakukan untuk menjatuhkan Presiden UMNO terdahulu, Tun Abdullah Badawi yang enggan patuh pada kehendak dan permintaannya sebelum ini.

Mahathir turut mengumumkan bersedia menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan yang didominasi oleh DAP kerana kedua-duanya mempunyai kepentingan politik masing-masing untuk menjatuhkan Najib.

Seruan itu disambut baik oleh Pakatan Harapan dan turut menyeru supaya pemimpin dan penyokong PAS menyertai kerjasama untuk merampas kerajaan secara tidak demokratik berkenaan.


0 comments:

share2