Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 25, 2016

CAT, STENSIL SERPIHAN MILIK PESAWAT MH370 - PENYELIDIK




Kuala Lumpur – Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan bahawa hasil analisis oleh penyelidik Australia mendapati dua serpihan yang dijumpai di Mozambique, sepadan dengan pesawat MH370 yang hilang pada 2014.

“Para penyelidik mengesahkan dua serpihan tersebut sebahagian daripada komponen pesawat Boeing 777. Selain itu, cat dan stensil daripada dua serpihan bertepatan dengan yang terdapat pada pesawat milik MAS. Mereka membuat kesimpulan komponen tersebut nyata milik MH370,” kata Liow.

Pakar-pakar penyelidik termasuk dari Australia dan Boeing sebelum ini telah menjalankan pemeriksaan bersama pasukan Malaysia di Australia terhadap dua serpihan yang ditemui awal bulan ini di Mozambique.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia (JACC) berkata, Malaysia turut bekerjasama dengan pegawai-pegawai Afrika Selatan untuk memeriksa satu lagi serpihan yang disyaki salah satu bahagian enjin pesawat.

Menurut pihak berkuasa Afrika Selatan, serpihan berkenaan ditemui berhampiran Mossel Bay, sebuah bandar kecil di wilayah Western Cape.

Mossel Bay terletak lebih 2,000 kilometer dari Vilankulo, sebuah resort di Mozambique di mana satu lagi serpihan yang sedang diperiksa di Australia, ditemui.


0 comments:

share2