Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 4, 2016

AL-QURAN DAN KEPENTINGAN TEKNOLOGI


Sidek Baba


Teknologi adalah ilmu tentang alat. Al-Quran mendidik manusia supaya memiliki nilai guna yang Qurani. Nilai guna Qurani menghubungkan etika dan nilai yang sifatnya memberi guna (yanfaunnas). Ia penting kerana setiap alat jangan sampai disalahgunakan dan membawa mudarat kepada pengguna dan manusia.

Tidak salah membangunkan teknologi kerana ia adalah produk kepada sains. Di samping pembangunan high-tech (teknologi tinggi) umpamanya, high-touch (sentuhan keinsanan) juga penting kerana sentuhan keinsanan boleh membina nilai guna yang sifatnya menyantuni.

Nilai guna yang dilandasi oleh etika yang Qurani memberi pedoman supaya kegunaan sesuatu alat dihubungkan dengan ALLAH. ALLAH memberi pedoman dalam al-Quran supaya melakukan sesuatu atas pertimbangan yang maaruf dan jauhkan daripada kemungkaran. Tanpa etika Qurani manusia boleh menyalahgunakan alat dan membawa musibah kepada pengguna dan manusia.

Internet boleh digunakan untuk maksud kebaikan dan juga boleh digunakan untuk maksud keburukan. Yang menyebabkan kecenderungan baik dan buruk itu ialah etika yang terbina hasil keinsafan mendalam manusia bahawa dalam melakukan sesuatu ALLAH mengetahui walaupun orang lain tidak tahu. Pengguna yang memiliki God-conciousness atau keihsanan yang tinggi memilih jalan ALLAH dalam melakukan sesuatu. ALLAH mengungkapkan dalam al-Quran Inna aqramakum ‘indallah hi atqaqum – karamah insan (yang terbaik) ialah yang memiliki jiwa muttaqeen.

Sejarah tamadun Islam di samping cemerlang dengan penemuan saintifik tetapi juga pembangunan teknologi.

Barat sering menyembunyikan pencapaian ilmuwan Islam dalam bidang teknologi. Barat sering menyatakan merekalah orang pertama dan pembangunan pelbagai jenis teknologi. Islam sejak abad ke-7 hingga abad ke-13 merupakan pelopor dalam bidang sains dan teknologi. Barat hanya melanjutkan penemuan awal daripada ilmuwan Islam. Sayangnya sejarah tamadun Barat tidak menyatakannya.

Jam mekanik dibangunkan oleh Khalaf al Muradi (Sepanyol) pada 1300M dan muncul dalam peradaban Barat pada tahun 1430M. Teknologi robot dibangunkan oleh Al Jazari (1136-1206) sedangkan Barat menemui teknologi robot oleh Leornardo da Vinci pada abad ke-13M.

Begitu juga perekaan teknologi kamera dilakukan oleh Ibn al Haitam di abad 10 M dengan temuan cemerlangnya kamera obscura. Pengembangan teknologi kamera dilakukan oleh Giovanni Batista della Porta dan Joseph Kepler sekira abad 16M.

Begitu juga teknologi kaca mata dan teknologi pesawat terbang dipelopori oleh ilmuwan Islam Lutfallah Gari (Saudi) dan Abbas Ibnu Firnas pada tahun 852M dan 875M. Ia amat bercanggah dengan pendapat orang Barat sebagai penemu dan pencetus pesawat terbang pertama di abad ke-19.

Ia bermakna teknologi pada zaman ketamadunan Islam adalah sesuatu yang amat dikagumi walaupun Barat cuba menyembunyikan hakikat sejarah ini untuk maksud-maksud tertentu.

Dalam tradisi Islam, teknologi selamanya alat dan ia bukan matlamat. Setakat mana teknologi membangunkan akal-budi insan supaya teknologi memberi manfaat kepada manusia, ia menjadi matlamat. Sebab itu faktor nilai guna menjadi sesuatu yang amat utama.

Teknologi terkini seperti komputer dan internet, dari segi perkakasan ia berguna. Tetapi dari sudut perisian ia memerlukan semakan dan saringan supaya ia sesuai dengan kegunaan kita.

Ia menjadi suatu cabaran kepada pengguna kita yang berkeahlian dan kepakaran membangunkan perisian yang sesuai untuk kita.

Sains dan teknologi adalah rakan kembar yang berkait dengan perubahan dan kemajuan. Seperti juga sains, ia memberi manfaat kepada manusia seperti juga teknologi. Setakat mana ia bermanfaat terhubung dengan nilai guna yang dimiliki oleh pengguna supaya maksud kesejahteraan tercapai. Sekiranya sains dan teknologi menghasilkan musibah dan ia dikendalikan di luar tuntutan kemanusiaan, sains dan teknologi bakal menghasilkan malapetaka dan bencana.

Sebaliknya teknologi yang menjadi alat bantu dan ditunjangi oleh jiwa ihsan yang tinggi bakal memberi manfaat kepada umat manusia dan alam. ALLAH telah memberi pedoman dalam al-Quran bahawa kerosakan alam ini adalah akibat perbuatan tangan-tangan manusia. Sebahagian tangan-tangan itu adalah akibat salah guna kepentingan teknologi dan menyebabkan musibah terjadi.


* Prof Datuk Dr Sidek Baba Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


0 comments:

share2