Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, February 12, 2016

SYED AMEN PERNAH DIUGUT KERANA LANTANG BERSUARA


Pengusaha restoran nasi kandar maut ditembak


Georgetown - Ahli perniagaan Syed Amen Jainul Abidin, 46, yang maut ditembak di Jalan Datuk Keramat di sini awal pagi tadi pernah diugut beberapa kali kerana lantang dalam mempertahankan hak kaum Melayu di Pulau Pinang.

Isteri mangsa Masita Abu Bakar, 46, berkata, suaminya pernah memberitahunya mengenai perkara berkenaan dan berpesan agar mereka sekeluarga lebih berhati-hati.

"Arwah juga sering membantu rakan-rakannya yang dalam kesusahan dan biarpun ramai yang mengenalinya sebagai seorang yang cukup tegas tetapi hakikatnya hatinya mudah tersentuh jika melihat kesusahan orang lain," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang di sini semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, Syed Amen maut selepas ditembak dari jarak dekat di hadapan sebuah kedai motosikal berkuasa tinggi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di dalam keretanya selepas seorang lelaki melepaskan lima das tembakan ke arahnya.

Masita berkata, mereka berkahwin sejak 10 tahun lalu dan masih belum dikurniakan cahaya mata kerana dia mengalami keguguran beberapa kali termasuk yang terbaru pada minggu lalu.

"Saya sangat sedih dan memang sukar untuk menerima kenyataan ini, tapi saya reda dan pasrah kerana ini adalah ketentuan Allah.

"Saya harap pihak polis dapat menangkap orang yang menembak suami saya, secepat mungkin," katanya.

Syed Amen adalah antara aktivis yang aktif mempertahankan kampung dan gerai masyarakat Melayu yang diroboh pihak berkuasa tempatan.

Beliau pernah menerima Anugerah Ikon Bumiputera Pulau Pinang pada 2008.

Pada tahun 2014, kedai cuci kenderaan miliknya di Jalan Arraton di sini pernah dibakar pihak yang dipercayai tidak berpuas hati dengan arwah kerana sangat lantang mempertahankan nasib orang Melayu.

Sementara itu, adik mangsa Abdul Kader, 42, berkata, dia dihubungi rakannya yang memaklumkan abangnya telah ditembak namun beliau tidak mempercayai dan meminta kawannya itu melihat mayat berkenaan bagi mengesahkan ia adalah abangnya.

"Saya benar-benar terkejut selepas mendapat berita ini dan memang langsung tidak percaya yang abang saya akan meninggalkan kami dalam keadaan begitu.

"Emak kami yang ketika ini berada di India sangat sedih dan dijangka balik ke Pulau Pinang esok," katanya.

Abdul Kader berkata, Syed Amen merupakan anak kedua daripada lima adik beradik merupakan seorang yang suka menolong orang terutama rakan-rakan yang dalam kesusahan dan tidak mempedulikan ugutan yang dilakukan terhadapnya.

Jenazah Syed Amen dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Dua, Butterworth selepas solat Asar semalam.

Allahyarham seolah-olah sudah dapat merasakan tragedi yang bakal menimpanya kerana menerusi satu status yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya di bawah nama 'Amen Beyond', dia merujuk satu kejadian tembakan dan meramalkan perkara sama akan menimpanya.

Status itu dimuat naik pada 4 Disember tahun lalu yang melaluinya Syed Amen turut meluahkan dirinya tidak takut dengan kemungkinan itu.


0 comments:

share2