Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, February 12, 2016

PORTAL BERITA PERLU LEBIH BERTANGGUNGJAWAB


Datuk Jailani Johari


Kuala Lumpur - Portal berita dan laman sesawang perlu bertanggungjawab atas penyebaran kenyataan berbaur fitnah atau yang boleh mencetuskan pergaduhan antara mana-mana pihak.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, walaupun ada portal berita dan laman sesawang yang memaparkan notis tidak akan bertanggungjawab terhadap komen atau kenyataan yang disiarkan, mereka tetap tidak akan terlepas daripada peruntukan undang-undang sedia ada.

Katanya, ia termasuk peruntukan undang-undang mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Saya ingin nasihatkan mereka di luar sana sekiranya mereka mengeluarkan apa-apa kenyataan mereka mesti bertanggungjawab.

"Kita tidak mahu ada masyarakat yang suka menyiarkan berita yang tidak tahu kesahihannya," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran dan sidang media siri televisyen Gerak Khas 2016 di Pawagam Mini P.Ramlee, Finas di sini semalam.

Sementara itu, Jailani berkata kementeriannya telah menjalankan perbincangan dan kajian bersama 350 pihak berkepentingan mengenai cadangan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia yang dijangka dibentangkan di Parlimen Mac ini.

Katanya kajian yang dilakukan bukan sahaja dari segi peruntukan yang disediakan malah beberapa pembangunan yang akan diadakan untuk industri multimedia negara.

"Cuma sementara perkara ini dibincangkan di Parlimen, kita harap pengguna (internet) berhati-hati terhadap jenayah siber seperti 'love scams' yang sejak sekian lama diperkatakan," katanya.

Dalam pada itu, Jailani menasihatkan individu yang telah menjadi mangsa jenayah siber supaya berani tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya mereka dapat dibantu melalui peruntukan undang-undang sedia ada.

"Mangsa yang terlibat mungkin malu mendedahkan identiti mereka tetapi kalau mereka tidak tampil, kita pun tidak dapat tolong," katanya.


0 comments:

share2