Nampaknya pelbagai taktik licik tergamak digunakan segelintir manusia bertopengkan iblis bagi mencari jalan mudah mengaut untung atas kesusahan dan kemurahan hati orang lain.
Baru-baru ini, tersebar beberapa posting palsu di laman Facebook meminta derma dan sumbangan ikhlas kononnya untuk membantu kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik dan memerlukan bantuan kewangan.
Individu yang melakukannya dikesan menggunakan nombor akaun Maybank milik MUHAMMAD AMIRUL ISKANDAR BIN AZHAR AFFAN.
Suspek menggunakan gambar dan posting viral beberapa kanak-kanak yang memang benar-benar memerlukan bantuan namun bertindak mengubah nombor akaun bank untuk menyumbangkan derma kepada nombor akaun milik Muhammad Amirul.
Suspek juga, dikesan menggunakan akaun Facebook dipercayai palsu atas nama Amirah Syaqilah dan NurAini Mustafa yang menggunakan gambar profil kanak-kanak bagi melakukan aktiviti penipuan.
Sebagai pencerahan, dua posting di bawah dilakukan suspek menggunakan dua akaun Facebook berlainan namun menggunakan gambar profil serupa. Kedua-dua posting di bawah dibuat pada tarikh sama 23 Disember 2015 namun pada masa berbeza iaitu 10.09 pagi dan 2.41 petang.
Beberapa lagi posting menggunakan modus operandi sama iaitu menyalahgunakan gambar kanak-kanak sakit turut dikesan dilakukan suspek guna akaun Facebook palsu yang lain.
Bagi menguatkan penipuannya dia menukar beberapa info seperti nama bapa kanak-kanak yang sakit kepada nama Muhammad Amirul, pemilik akaun Maybank yang digunakannya untuk menyeleweng wang penderma.
Di sini kami sebarkan beberapa lagi bukti penipuan yang dilakukan manusia tidak berhati perut ini.
Apa yang menyedihkan, ada netizen telah pun terpedaya dengan taktik licik yang digunakan suspek sedangkan mereka ikhlas hendak membantu.
Bayangkan sekiranya taktik penipuan ini berjaya menipu 100 orang yang mungkin menderma RM1, RM100 ataupun RM1,000? Suspek dengan mudah mendapat wang yang sepatutnya jadi milik insan lain yang betul-betul memerlukannya.
Kepada pihak yang telah terpedaya, diharapkan segera membuat laporan polis agar penipu ini berjaya ditahan seterusnya diberi pengadilan sewajarnya di mahkamah.
Rasanya inilah taktik penipuan paling keji apabila tergamak menggunakan kanak-kanak kecil yang sakit dan menanti bantuan untuk diselamatkan demi kepentingan sendiri.
Kepada semua, sila hati-hati selepas ini. Sebaiknya jika ingin menyalurkan sumbangan, hubungi dahulu pihak yang memohon bantuan bagi mendapat kepastian duit yang diberi benar-benar mengalir kepada insan yang ingin dibantu.
0 comments:
Post a Comment