Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 8, 2016

SERBU TUKANG GUNTING


Serbu tukang gunting


Dungun - Kain rentang sempena program kembali ke sekolah di pos serba guna, Taman Rakyat Jaya, di sini, berjaya menarik perhatian ramai dan lebih 100 pelajar hadir mendapatkan khidmat gunting rambut percuma.

Beberapa tukang gunting tempatan yang diberi peranan menjayakan aktiviti itu diserbu pelajar untuk memperkemaskan rambut bagi sesi persekolahan 2016 dan ibu bapa juga hadir memberi sokongan.

Peserta, Mohd Fahin Mat Ripen, 13, berkata, sebelum ini program sedemikian tidak pernah dianjurkan dan setiap kali musim persekolahan baharu dia terpaksa ke kedai gunting atau meminta pertolongan kawan-kawan menggunting rambut.

“Saya terbaca kain rentang yang di gantung di kawasan ini dan mengambil peluang dengan mengajak rakan-rakan untuk menyertainya. Satu kelebihan bagi kami sebagai pelajar ialah khidmat diberikan secara percuma,” katanya.

Rakannya, Mohd Umair Mujahid Rosli 14 turut memberikan pandangan sama dan menganggap ia satu aktiviti kebajikan bagi membantu memudahkan urusan ibu bapa.

“Biasanya rakan-rakan yang tolong gunting rambut, tetapi menerusi program ini golongan berkemahiran yang mem'bojeng' rambut kami. Tak perlu susah payah cari kedai gunting atau ke tempat lain kerana di sini lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Dungun, Din Adam berkata, program berkenaan mendapat kerjasama yang baik daripada semua pihak dan secara tidak langsung menyemarakkan suasana sekitar kawasan itu.

“Aktiviti seperti ini harus dijadikan contoh dan kawasan-kawasan lain digalakkan untuk menganjurkannya. Bukan sekadar gunting rambut, malah ia menjadi ruang untuk penduduk berkumpul dan mengukuhkan semangat kekitaan serta silaturahim.

"Secara tidak langsung, ia dapat mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa untuk menguruskan persekolahan anak-anak mereka," katanya.


0 comments:

share2