Kemaman - Selepas enam bulan tragedi empat nelayan pukat tunda hilang berlalu, Zaimah Yusof, 53, pasrah andai ditakdirkan suami dan anak nya terkubur di laut tanpa pusara untuk diziarahi.
Ibu empat anak ini berkata, ketika mayat nelayan pertama dijumpai 4 Julai tahun lalu, selepas sembilan hari bot gagal dikesan, nalurinya masih merasakan suaminya yang juga tekong bot, Ab Wahab Tekak, 58, dan anaknya, Mohd Nasri, 31, masih hidup.
“Namun lepas mayat kedua ditemui pada 30 Julai, saya dan anak-anak tahu yang dah tak ada harapan untuk mereka berdua pulang dalam keadaan selamat.
“Kalau mereka masih hidup, dah lama mereka balik rumah. Tertunggu-tunggu mereka pulang memang cukup perit, hanya ALLAH SWT yang tahu apa saya dan tiga anak rasa,” katanya ketika dikunjungi Sinar Harian di rumahnya, di Kampung Geliga.
Bot kelas B bernombor pendaftaran TRF1078, dinaiki empat mangsa yang mempunyai pertalian saudara dilaporkan hilang pada 26 Jun tahun lalu, selepas keluar menangkap ikan di sekitar perairan Kemaman.
Tiada sebarang petunjuk ditemui ketika kerja mencari dan menyelamat dilakukan pihak berkuasa menyebabkan kawasan pencarian diperluaskan hingga ke perairan Pahang dan Kelantan.
Penemuan mayat pertama, Mohd Zawawi Seman, 36, yang terapung di perairan Pulau Kapas, Marang, pada 4 Julai sedikit sebanyak memberi gambaran akan nasib sebenar yang menimpa semua mangsa.
Misteri kehilangan bot malang itu berakhir apabila ia dijumpai karam kira-kira 10 batu nautika dari muara Kuala Kemaman pada 28 Julai 2015.
Selang dua hari kemudian, mayat kedua, Azuari Muda @ Abu Bakar, 41, pula ditemui terapung, juga di perairan Pulau Kapas, kira-kira 100 kilometer dari lokasi bot mereka karam.
Anak mimpi ayah senyum
Zaimah berkata, selepas penemuan mangsa kedua, dia mengharapkan jasad suami dan anaknya turut ditemui agar kedua-duanya dapat disemadikan.
“Lepas setengah tahun, harapan saya makin kabur. Saya dan anak-anak reda dengan ketentuan ALLAH SWT,” katanya sebak.
Beberapa bulan selepas musibah itu menimpa, anak ketiga Zaimah, Quratul Aini, 22, kerap bermimpi melihat ayahnya tersenyum, manakala, anak bongsunya, Muhammad Aiman, 16, bermimpi Ab Wahab pulang dengan selamat.
Kata Zaimah, setiap kali rindukan suami dan anak sulungnya, dia hanya mampu menatap kain baju Melayu yang dibeli untuk kedua-dua mereka bagi menyambut Aidilfitri.
Menurutnya, kain itu tidak sempat dijahit berikutan tragedi tersebut berlaku pada minggu pertama bulan Ramadan.
Kehilangan Ab Wahab dan Mohd Nasri menyebabkan Zaimah sekeluarga dan menantu, Fatin Fatimah Mohamad, 23, yang ketika itu baru empat bulan melahirkan anak sulung hilang tempat berpaut.
Mereka kini berniaga makanan dan minuman ringan di hadapan rumah untuk menampung perbelanjaan harian.
Bagaimanapun, Zaimah berkata, rumah yang dia dan tiga anaknya diami kini di atas tanah pusaka suaminya dan dia bimbang perlu berpindah jika dibuat pembahagian harga pusaka.
“Sebab itu saya rancang mahu mohon rumah PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin) agar kami ada tempat berteduh, mudah-mudahkan rezeki kami dimurahkan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment