Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 21, 2016

SAKSI: ALVIN TAN LARI, ELAK DIBICARA


Alvin Tan


Kuala Lumpur - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) mengesyaki blogger kontroversi Alvin Tan melarikan diri ke Amerika Syarikat bagi mengelak menghadiri prosiding perbicaraan kes terhadapnya.

Penolong Pengarah di Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan di MCMC, Akmal Hamdy Baharudin, 32, berkata ia berdasarkan laporan yang diperoleh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"MCMC memohon kepada Interpol dan kemudian mengeluarkan 'Notis Merah' bagi mengesan dan membolehkan Alvin ditangkap sekiranya dikesan memasuki mana-mana negara," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Sebelum ini, Alvin gagal hadir kali pertama ke mahkamah pada 13 Jun 2014 ketika sebutan kes itu. Mahkamah bagaimanapun mengeluarkan waran tangkap terhadapnya selepas gagal mengembalikan pasport yang dipohonnya bagi tujuan penggambaran dokumentari di Singapura.

Namun, mahkamah kemudian masih meneruskan perbicaraan terhadap bekas teman wanitanya, Vivian Lee, meskipun tanpa kehadiran Alvin.

Akmal Hamdy, merupakan saksi pendakwaan ke-18 dalam kes perbicaraan Alvin Tan atau Tan Jye Yee dan Vivian Lee atau Lee May Ling yang didakwa menyiarkan gambar mereka menikmati hidangan dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh...fragrant, delicious and appetising)' yang mengandungi logo halal, di laman Facebook mereka.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu pada 9 pagi, 12 Julai 2013, mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.

Mereka turut didakwa terhadap pertuduhan menyiarkan gambar pornografi dalam laman Facebook sama mengikut subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 antara 9 malam 6 Julai 2013 dan 2 pagi 7 Julai 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Abdul Rashid Daud bersambung pada 24 Februari.


0 comments:

share2