Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 6, 2016

POLIS NAFI BERSUBAHAT DALAM KES SAMUN PELANCONG


PDRM


Kota Kinabalu - Polis Kota Kinabalu hari ini menafikan anggotanya bersubahat dalam kes samun seorang pelancong lelaki warganegara Jepun di Lorong Haji Yaacob, Kampung Air, di sini, semalam seperti yang tersebar di laman sosial.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu Asisten Komisioner M. Chandra berkata dalam kejadian kira-kira 3 petang, sekumpulan individu telah merompak wang tunai bernilai RM1,500 serta mata wang asing ¥10,000 dan US$65 milik mangsa, Takashi Isihara, 34.

Beliau berkata semasa kejadian, mangsa yang baru selesai makan di sebuah restoran telah didatangi seorang wanita yang mengajaknya ke rumah penginapan wanita itu di tingkat dua, bangunan kedai.

"Sejurus tiba, terdapat empat lelaki di dalam rumah itu, dan seorang daripada mereka telah mengambil dompet mangsa. Mangsa dan suspek kemudian turun ke bahagian bawah rumah penginapan itu dan berlaku ketegangan kerana mangsa meminta suspek memulangkan duitnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Melihat ketegangan itu, Chandra berkata, anggota narkotik yang kebetulan sedang membuat dokumentasi Op Tapis di situ, menegur mangsa dan suspek, sambil menunjukkan kad kuasa polis.

"Maklumat lanjut mengenai permasalahan itu cuba diperoleh daripada mangsa, tetapi tidak tercapai kerana masalah komunikasi," katanya.

Bagaimanapun, mangsa beranggapan anggota narkotik tersebut bersekongkol dengan penjenayah, lalu memuat naik video dan gambar kejadian itu di laman sosial, katanya.

Chandra berkata polis juga telah memaklumkan kepada Konsular Jepun di Kota Kinabalu, Shinji Urabayashi berhubung kedudukan sebenar insiden itu dan Urabayashi amat memahami serta berterima kasih atas profesionalisme polis menyelesaikan kes tersebut.

Beliau berkata polis telah menangkap kesemua suspek iaitu seorang wanita dan empat lelaki berumur 20 hingga 34 tahun awal pagi tadi dan merampas wang tunai yang disamun.


0 comments:

share2