Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 6, 2016

[BERA] ANAK YATIM TERIMA SUMBANGAN WANG


Anak yatim terima sumbangan wang


Seramai 65 anak yatim menerima agihan sumbangan menerusi Tabung Anak Yatim Masjid Darul Fikri bagi menampung keperluan memasuki sesi persekolahan tahun ini.

Kadi Daerah Bera, Sha’ari Abdul Rahman berkata, mereka menerima sumbangan wang tunai bernilai antara RM200 hingga RM500 mengikut tahap pendidikan masing-masing bagi memudahkan mereka melengkapkan keperluan yang belum ada.

Menurutnya, sebelum ini, ada segelintir anak-anak yatim ini telah menerima sumbangan pakaian dan kelengkapan persekolahan daripada beberapa pihak, dan pihaknya beranggapan adalah lebih baik mengagihkan sumbangan itu dalam bentuk tunai.

“Kalau kita bagi sumbangan dalam bentuk barang seperti beg atau pakaian sekolah, mungkin antara mereka sudah menerimanya daripada penyumbang lain.

“Jadi, dengan sumbangan wang tunai ini, sekurang-kurang mereka boleh gunakan untuk pembayaran yuran atau membeli buku rujukan dan sebagainya,” katanya pada Majlis Sumbangan Bantuan Persekolahan Anak-anak Yatim Qariah Masjid Daruk Fikri Daerah Bera Tahun 2015.

Sha’ari berkata, Tabung Anak Yatim ini ditubuhkan sejak tahun 2008, dan agihan sumbangan dilakukan sebanyak dua kali setahun.

Katanya, pada awal lima tahun sebelum ini, kutipan yang diterima tidak menggalakkan tetapi keadaan berubah pada tahun 2014 apabila kesedaran kariah masjid terhadap tabung ini semakin meningkat.

“Sepanjang 2015 sahaja, Tabung Anak Yatim telah mendapat kutipan melebihi RM100,000 dan sumbangan itu telah diagihkan beberapa kali kepada anak yatim.

“Selepas ini, pihak masjid berhasrat untuk mewujudkan Tabung Anak Yatim dan Fakir Miskin yang membolehkan mereka di kalangan fakir layak menerima sumbangan juga,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sha’ari memberitahu, anak-anak yatim ini umpama anak angkat kepada masjid ini dan berharap agar mereka boleh mengadu sebarang masalah kepada pihak masjid bagi membantu apa yang sewajarnya.

Beliau juga berharap sumbangan yang diberikan itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.


0 comments:

share2