Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 28, 2016

[MARAN] `JANGAN KERJA SAMBIL LEWA'


‘Jangan kerja sambil lewa’


Agensi pelaksana dan kontraktor yang dipertanggungjawab membaik pulih kediaman rosak akibat bencana diingatkan supaya menepati skop kerja ditetapkan.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, mangsa yang ditimpa bencana tidak seharusnya dibebani dengan hasil penyelenggaraan yang kurang memuaskan.

“Agensi pelaksana dan kontraktor diingatkan agar melakukan kerja-kerja mereka sebaiknya. 

“Jangan sambil lewa, dengan kerja-kerja itu juga mereka dapat beramal bantu orang lain yang ditimpa bencana,” katanya.

Menurutnya, kerajaan sentiasa prihatin dengan menyediakan peruntukan tertentu bagi meringankan beban mangsa.

“Sehubungan itu, saya minta pemimpin akar umbi terutama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar melaporkan apa saja kejadian membabitkan rakyat kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Pada masa sama, sebaiknya mangsa yang ditimpa bencana juga boleh memaklumkan apa yang berlaku agar tiada sesiapa pun terkecuali daripada menerima bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau kerosakan rumah seorang ibu tunggal yang dihempap pokok getah di Kampung Sekara, di sini.

Kediaman mangsa, Esah Abu, 68, rosak di bahagian dapur selepas dihempap pokok getah ketika kejadian ribut pada pertengahan Disember lalu.

Esah merupakan seorang peniaga makanan tradisional di Pekan Sehari Chenor dan pernah mewakili daerah Maran dalam Pertandingan Tilawah Al-Quran Negeri Pahang.


0 comments:

share2