Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 15, 2016

[MARAN] IBU MANGSA LANGGAR LARI RAYU BANTUAN

Ibu mangsa langgar lari rayu bantuan



Seorang ibu merayu bantuan orang ramai bagi menampung kos rawatan dan pembedahan anaknya yang parah selepas terlibat kemalangan langgar lari ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Mangsa, Mohd Aizat Arsyad, 24, yang berasal dari Kampung Luit di sini, kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana mengalami kerosakan teruk pada tulang leher, tulang belakang, tengkorak kepala dan pendarahan dalaman otak.

Kos pembedahan pertama untuk memasukkan implan di lehernya mencecah RM18,000 sementara kos pembedahan susulan untuk bahagian tulang belakang dan pendarahan beku di otak masih belum diketahui.

Kecederaan serius itu menyebabkan Mohd Aizat lumpuh dan separa sedar namun mampu memberi reaksi walaupun tidak dapat menggerakkan badan.

Alat sokongan di kepala turut digunakan bagi menghalang sebarang pergerakan di leher.

Menurut ibu mangsa, Mazilah Buyong, 50, kos rawatan dan pembedahan yang tinggi menyebabkan mereka terpaksa memohon bantuan orang ramai demi anak tersayang.

Dia hanya bekerja sebagai pekerja am (pembersihan) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chedung Jaya, manakala pendapatan suaminya, Arsyad Lambak, 56, bergantung kepada hasil menoreh getah.

“Masa kejadian, Mohd Aizat menunggang motosikal berdua dengan kawan sekerja. Dia bekerja sebagai pelayan di sebuah hotel di Petaling Jaya sejak lima tahun lalu.

“Mengikut kata rakan yang hanya cedera ringan, motosikal mereka terbabas selepas dihimpit sebuah kereta ke pengadang jalan,” katanya.

Mazilah berkata, pembedahan di leher anak ketiga daripada empat beradik itu dilakukan petang semalam, selepas berjaya mengumpul RM18,000 hasil kutipan kongsi saudara terdekat, syarikat dan rakan sekerja Mohd Aizat serta orang ramai.

Menurutnya, pembedahan di kepala dan tulang belakang bakal menyusul bergantung kepada keadaan kesihatan Mohd Aizat namun belum dimaklumkan mengenai kos pembedahan tersebut.

“Pembedahan di leher perlu dilakukan segera. Kami memangnya tak mampu menampung kos kalau tak ada bantuan dari orang ramai.

“Saya ucap terima kasih kepada semua yang membantu dan yang mendoakan Mohd Aizat kembali pulih,” katanya yang mengambil cuti bagi menjaga Mohd Aizat di PPUM sejak Sabtu lalu.

Mohd Aizat juga mempunyai tanggungan seorang anak lelaki yang masih kecil berusia setahun.

Nasib yang menimpa Mohd Aizat turut mendapat perhatian ramai apabila kisahnya menjadi viral di laman sosial.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga tersebut untuk kos rawatan dan pembedahan selanjutnya, boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB Mazilah Buyong 06070002230207 atau menghubungi di talian 019-9088511.




0 comments:

share2