Foto sumber Whatsapp
JAKARTA, 14 Jan - Tujuh orang disahkan maut dalam kejadian serangan bom di luar kawasan Gedung Sarinah di sini hari ini.
Menteri Koodinator Politik, Hukum dan Keamanan Luhut Pandjaitan berkata daripada tujuh orang itu, lima adalah penjenayah yang terbabit menyerang dan mengebom pondok polis di Jalan MH Thamrin itu manakala dua lagi adalah orang awam termasuk seorang warga asing.
Pihak berkuasa mengesahkan warga asing itu adalah rakyat Kanada dan terkorban ketika berada di dalam restoran Starbucks.
Tiga belas orang lagi dilaporkan parah termasuk lima anggota polis.
Luhut berkata daripada lima suspek penjenayah yang mati itu, tiga ditembak polis manakala dua lagi membunuh diri di dalam dan di depan restoran Starbucks di bangunan Gedung Cakerawala yang terletak di seberang jalan Gedung Sarinah.
"Masyarakat awam yang meninggal satu warga Indoensia dan satu warga asing, ramai yang luka dan sekarang dimasukkan ke hospital," katanya ketika melawat tempat kejadian.
Dalam kejadian pukul 10.50 pagi, sekumpulan lelaki yang memakai baju putih dan berseluar 'kargo' membawa bom dan senjata api menyerang pondok polis di Jalan MH Thamrin.
Polis kemudiannya membalas tembakan dan berjaya menembak tiga daripada mereka manakala dua lagi yang cuba melarikan diri kemudiannya membunuh diri.
Setakat ini polis masih belum mengesahkan sama ada kumpulan penyerang terbabit adalah kumpulan pengganas atau kumpulan ajaran sesat.
Presiden Indonesia Joko Widodo turut meluangkan masa melawat tempat kejadian pada kira-kira pukul 4 petang tadi dan menggesa polis menyiasat kes itu secara mendalam bagi membanteras segala kegiatan pengganas di negara itu.
Tinjauan Bernama mendapati keadaan di Gedung Sarinah kembali aman dan laluan di hadapan gedung itu mula dibuka kepada kenderaan awam.
Walaupun masih terdapat pasukan khas polis mengawal sekitar kawasan kejadian namun orang ramai dibenarkan melalui kawasan jalan utama di pusat bandar itu.
Bagaimanapun masih terdapat pasar raya, kedai dan restoran terus menutup kedai masing-masing atas alasan keselamatan.
Seorang pekerja restoran yang hanya mahu dikenali sebagai Deena, berkata majikannya membenarkan mereka pulang setelah perniagaan ditutup sejak pukul 11 pagi ekoran kejadian serangan bom berkenaan.
0 comments:
Post a Comment