Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 17, 2016

[KUANTAN] SEDIA JADI ORANG TENGAH


Kuantan - Kerajaan perlu mengenal pasti pengusaha perlombongan bauksit di daerah ini dan meminta persetujuan mereka untuk menanggung kos pembersihan sisa bauksit di kawasan terjejas.

Pengerusi Penyelarasan Bertindak Bauksit Bukit Goh, Datuk Dr  Abd Wahid Abd  Manap berkata, bagaimanapun perkara itu sukar dilaksanakan kerana perlu mendapat persetujuan syarikat terbabit.

“Kita akui kerja pembersihan ini patut dilakukan oleh pengusaha, namun dalam isu ini adakah mereka (pengusaha) sanggup menjalankan kerja pembersihan selepas aktiviti perlombongan?.

“Kalau ada yang bersetuju pun itu mungkin segelintir sahaja kerana mereka juga terpaksa tanggung beban kos selepas operasi bauksit dihentikan buat sementara,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang meminta supaya pengusaha bauksit menanggung segala kos pembersihan kerana pencemaran itu berpunca daripada aktiviti perlombongan dijalankan mereka.

Menurutnya, pengusaha bauksit  hanya perlu mengeluarkan kos pembersihan di kawasan perlombongan mereka sahaja, bukan keseluruhan kawasan.

“Tidak adil sekiranya hanya dua atau tiga pengusaha terpaksa menganggung kos pencucian di tempat yang mereka tidak melombong.

"Jadi dalam hal ini, kerajaan perlu mencari senarai pelombong yang terlibat di sesebuah tempat,” katanya.

Abd Wahid berkata, beliau bersedia untuk menjadi orang tengah antara pengusaha terlibat dan kerajaan dalam isu tersebut.

“Kita sanggup membantu kerajaan bagi mengetengahkan perkara ini, namun kerajaan harus senaraikan secara lengkap berapa kos yang akan digunakan bagi tujuan itu.

“Saya hanya boleh utarakan perkara tersebut, bagaimanapun keputusan untuk bersetuju atau tidak itu terpulang kepada pengusaha,” katanya.

Beliau berkata, pengusaha kini tertekan apabila operasi bauksit dihentikan selama tiga bulan dan bimbang tempoh itu dilanjutkan.

Sumber

0 comments:

share2