Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 25, 2016

[KUANTAN] PENGUSAHA RESORT PERLU AGRESIF PROMOSI SEKTOR PELANCONGAN


Pengusaha resort perlu agresif  promosi sektor pelancongan


Pengusaha resort di Pahang digalakkan lebih agresif mempromosikan sektor pelancongan tanpa bergantung kepada kerajaan.

Exco Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, pengusaha resort boleh menganjurkan pelbagai acara di tempat masing-masing untuk menarik kedatangan pelancong.

Menurutnya, kerajaan negeri sedia bekerjasama dalam aspek tertentu sebagai sokongan.

"Inisiatif pengusaha resort mengadakan acara tertentu pastinya akan memeriahkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.

"Dalam usaha kerajaan mengadakan Tahun Melawat Pahang tahun hadapan, kita mahu ia turut mendapat penyertaan daripada pengusaha resort untuk menjadi agen promosi," katanya kepada media selepas pelepasan peserta Sungai Lembing Mad Warrior di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Sungai Lembing, di sini, pagi ini.

Mohd Sharkar berkata, acara larian yang dianjurkan pengusaha resort Pesona Adventure Camp Sungai Lembing dan Tadom Hill Adventure Sdn Bhd dengan kerjasama Tourism Pahang itu adalah sejauh 12.4 kilometer (km) mempunyai 24 halangan fizikal.

Beliau berkata, penganjuran acara itu adalah salah satu promosi pelancongan sempena Tahun Melawat Pahang tahun hadapan.

"Sehubungan itu, sebanyak 58 acara sudah diatur sepanjang tahun ini yang dijangka mampu menjadi tarikan pelancong.

"Kita juga akan mulakan siri jelajah di seluruh negeri April depan selepas pra pelancaran Tahun Melawat Pahang Mac ini," katanya.

Mohd Sharkar berkata, Pahang mencatat kedatangan pelancong seramai 9.4 juta pelancong dengan jumlah pendapatan RM7.5 billion pada 2014 manakala pada 2015 seramai 10.53 juta pelancong hadir dengan pendapatan RM8 billion.

Dalam pada itu katanya, satu laman web untuk tempahan bilik akan diwujudkan untuk memudahkan pelancong.

Antara 58 acara yang diatur di seluruh negeri adalah Birds Race di Bukit Fraser, Surfing di Cerating, Royal Billfish di Rompin.

Pada acara larian tersebut seramai 600 peserta mengambil bahagian.


0 comments:

share2