Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 7, 2016

[KUANTAN] MUIP KESAN BANYAK PUSAT SEMBELIH TIDAK TEPATI SYARAT


Muip kesan banyak pusat sembelih tidak tepati syarat


Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) memberitahu, terdapat banyak pusat penyembelihan tidak layak menerima sijil halal termasuk yang dimiliki pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah negeri ini.

Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, pihaknya turut dimaklumkan mengenai kemudahan penyembelihan yang tidak sempurna dan mendatangkan keraguan terhadap status halal haiwan disembelih.

Menurutnya, jika tidak memenuhi piawaian ditetapkan, sijil halal tidak boleh dikeluarkan.

“Dalam masa terdekat, satu pemeriksaan mengejut akan dibuat bersama Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Pejabat Veterinar dan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di semua pusat penyembelihan agar layak menerima sijil halal.

“Bukan dari segi halal haiwan yang disembelih sahaja, tetapi bahan-bahan penyembelihan juga perlu diiktiraf baik dari segi kesihatan ataupun kebersihan,” katanya.

Wan Abdul Wahid berkata, untuk mendapat sijil halal, sesebuah pusat penyembelihan itu perlu memenuhi piawaian ditetapkan iaitu kebersihan, aliran air takungan dan keadaan bangunan.

“Muip merasakan sudah sampai masanya perkara ini diubah, yang rosak bukan sahaja makanan kita, malah Islam juga akan rosak.

“Sepatutnya setiap haiwan yang disembelih perlu diperiksa untuk memastikan ia benar-benar disembelih dan sah mengikut hukum syarak,” katanya.


1 comments:

  • Abu Maryam Mohammad says:
    January 7, 2016 at 3:55 PM

    Solusi yang didatangkan adalah memastikan tiada penyalahgunaan lesen dan bersih rasuah apabila serbuan dibuat.

share2