Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 7, 2016

KERAJAAN AKAN PASTIKAN RAKYAT TIDAK TERUS MENDERITA


Lori Bauksit


Kangar - Arahan pemberhentian sementara perlombongan bauksit di Kuantan merupakan tindakan tegas kerajaan agar rakyat tidak terus menderita akibat pencemaran air dan alam sekitar yang berpunca daripada aktiviti itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata walaupun pemberhentian itu cuma sementara rakyat harus melihatnya daripada sudut positif.

"Saya yakin kerajaan Pahang akan melaksanakan peraturan dan undang-undang yang berkesan untuk menangani dan mengawal kesan buruk akibat perlombongan bauksit ini," katanya kepada Bernama selepas pertemuan dengan kumpulan media maya di Denai Larian di sini, malam tadi.

Semalam, Kabinet mengeluarkan arahan supaya aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan diberhentikan selama tiga bulan mulai 15 Januari ini.

Shahidan berkata, tindakan penduduk Kuantan membakar lori membawa bauksit pada 22 Disember lepas kerana kecewa dengan tindakan kerajaan negeri gagal menangani isu itu, harus dipandang serius. 

"Saya tidak menolak kemungkinan ada campur tangan pihak berkepentingan dalam aktiviti perlombongan ini namun tindakan drastik dan tegas perlu diambil demi memelihara kesejahteraan rakyat.

"Soal ada tangan tersembunyi atau tidak adalah perkara nombor dua. Soal tangan itu saya tak tau. Yang penting sekarang kita selesaikan isu ini yang menjadi kemarahan penduduk Kuantan," katanya.

Perlombongan bauksit yang tidak terkawal di kawasan Bukit Goh, Gebeng dan Pelabuhan Kuantan sejak pertengahan 2014 menyebabkan penduduk di situ menanggung kesan debu yang teruk manakala air sungai dan laut bertukar warna menjadi merah dipercayai dicemari bahan galian bauksit selepas hujan pada 28 Disember lepas.


0 comments:

share2