Sekadar Hiasan |
Kuantan - Alasan datang ke pusat hiburan sekadar untuk berhibur diberikan 30 wanita warga asing yang diperiksa pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen dalam sebuah pusat hiburan di Jalan Haji Abdul Aziz di sini, malam kelmarin gagal mengaburi mata pihak berkuasa.
Hasil pemeriksaan mendapati, wanita terdiri daripada warga Thailand, Vietnam dan Laos berusia lingkungan 20 hingga awal 30an itu menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan di pub itu.
Turut ditahan, dua lelaki warga Bangladesh yang didapati melakukan kesalahan sama apabila bekerja sebagai pelayan bar di pusat hiburan yang beroperasi sejak hampir setahun lalu.
Mereka antara 49 warga asing yang terjerat dalam operasi bersepadu dijalankan penguatkuasa Jabatan Imigresen Pahang dengan kerjasama Imigresen Putrajaya dan Terengganu bermula jam 3 petang kelmarin hingga awal pagi semalam.
Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan, Mohd Rosli Mat Nun berkata, operasi bersepadu itu bertujuan mengesan pekerja asing tanpa izin (Pati) yang masih berada atau bekerja di tapak perlombongan bauksit sekitar daerah ini.
Menurutnya, atas maklumat awam berhubung kehadiran wanita warga asing yang bekerja di pusat hiburan dan pusat urutan yang dikhuatiri turut menjalankan aktiviti tidak bermoral, pihaknya mengerakkan 63 anggota terlibat untuk melakukan dua serbuan ke atas premis yang dikenal pasti di sekitar Jalan Haji Abdul Aziz dan Jalan Beserah di sini.
“Maklumat diterima tepat apabila hasil serbuan Ops Sayang itu mendapati, terdapat wanita warga asing yang menggunakan pas lawatan sosial bekerja sebagai pelayan dan tukang urut di premis terlibat.
“Selain serbuan ke atas pub di tengah bandar Kuantan, sepasukan anggota turut menyerbu sebuah pusat urutan secara serentak dan berjaya menahan enam wanita warga Vietnam,” katanya.
Mohd Rosli berkata, pusat urut yang terletak di kawasan Star City itu pernah diserbu beberapa kali sebelum ini, namun pengusahanya terus berdegil menggaji wanita asing untuk mengurut pelanggan.
Menurutnya, wakil majikan bagi kedua-dua premis terlibat dikeluarkan Borang 29 untuk hadir ke Bahagian Penguatkuasa Imigresen bagi membantu siasatan.
Pati cuba lolos
Sementara itu, Mohd Rosli berkata, beliau dan anggota penguatkuasa terpaksa berdepan cabaran memasuki kawasan tapak lombong bauksit sekitar Bukit Goh di sini bagi mengesan Pati yang masih berada di kawasan tersebut selepas kerajaan memutuskan operasi perlombongan mineral itu dihentikan selama tiga bulan berkuat kuasa 15 Januari lalu.
“Operasi bermula jam 3.30 petang itu memaksa kami menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk masuk ke kawasan dikenal pasti, bagaimanapun kemunculan ‘kenderaan kerajaan’ seperti telah dihidu apabila ada Pati cuba melarikan diri.
“Bagaimanapun dengan tindakan pantas penguatkuasa terlibat, kita berjaya menahan 15 warga Indonesia dan dua warga Myanmar pemegang kad UNHCR di lokasi,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati, kebanyakan Pati yang ditahan itu sebelum ini bekerja sebagai pelombong dan pemandu lori bauksit.
“Bagaimanapun selepas operasi itu dihentikan sementara, mereka bekerja sebagai penjaga atau pengawal keselamatan tapak yang ditinggalkan itu.
“Pemeriksaan mendapati mereka ini tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan ada tinggal di negara ini melebihi tempoh dibenarkan,” katanya.
Menurutnya, operasi seumpama itu akan diteruskan terutama jika ada maklumat selain pemantauan berterusan.
“Untuk bulan pertama tahun ini, kita hampir mencapai target ditetapkan 150 tangkapan dengan 149 pekerja asing berjaya ditahan setakat ini,” katanya.
Beliau berkata, bagi tangkapan semalam, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 6(1)C Akta Imigresen 1959 dan Peraturan 39B peraturan Imigresen 1963.
“Semua yang ditahan dibawa ke lokap untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Sementara di Ajil, Hulu Terengganu,” katanya.
0 comments:
Post a Comment