Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 16, 2016

[KUANTAN] 14 RESTORAN DI KUANTAN DIPERIKSA

Gambar Hiasan

KUANTAN - Pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan pegawai Jabatan Imigresen Pahang ke atas 14 premis restoran dan kedai makan di sekitar daerah ini yang disyaki menggaji pendatang asing tanpa izin (Pati) membuahkan hasil apabila 59 pati pelbagai kerakyatan berjaya ditahan, kelmarin.

Dalam operasi Ops Ikrar (Selera) yang bermula jam 9.55 pagi Selasa lalu dan berakhir jam 1.15 pagi, seramai 122 warga asing diperiksa.

Timbalan Penolong Pengarah Tinggi Imigresen Pahang, Mohd Rosli Mat Nun berkata, tumpuan diberikan di beberapa lokasi antaranya Jalan Air Putih, Jalan Haji Abdul Aziz, Alor Akar, Lorong Seri Kuantan, Batu Hitam, Sungai Karang dan Balok.

Beliau berkata, dalam operasi sama, pihaknya turut melakukan pemeriksaan di dua bilik sewa di Kampung Selamat.

“Hasilnya seramai 24 warga Indonesia termasuk dua yang memiliki status penduduk tetap diperiksa dan 19 daripadanya didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Kita dapati kebanyakan Pati yang ditahan melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, tiada permit kerja, salah guna pas lawatan dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 56(1)(A)(a),  Seksyen 15(1)(c), Seksyen 6(1)(c)  Akta Imigresen1959/63 dan Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Hasil operasi ini juga, kita mengeluarkan lapan borang 29 kepada majikan atau wakil untuk hadir ke Bahagian Penguatkuasa Imigresen  bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapati beberapa premis perniagaan terutama restoran masih berdegil menggaji pati terutama dari Indonesia sama ada sebagai tukang masak, tukang sapu dan pelayan.

“Bagaimanapun pemeriksaan di kedai makan masakan Thai sekitar Balok, kebanyakan pengusahanya mematuhi peraturan yang ditetapkan dengan mengaji pekerja yang sah,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan pati yang ditahan dalam operasi itu membabitkan 27  warga Indonesia, 14 Myanmar, 15 Thailand dan masing-masing satu warga Kemboja dan China.

“Operasi Ops Ikrar  tidak hanya melibatkan operasi perniagaan ini sahaja sebaliknya akan dilakukan secara menyeluruh ke semua sektor bagi memastikan majikan tidak terus berdegil menggaji Pati,” katanya sambil menegaskan,  majikan yang degil menggaji Pati atau tidak memiliki permit kerja sah juga bakal berdepan hukuman berat jika tertangkap. - Sumber

0 comments:

share2