Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 28, 2016

KECOH KETIKA NANCY HUJAH, SPEAKER BERI AMARAN


Tan Sri Pandikar Amin Mulia


Kuala Lumpur - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia semalam memberi amaran untuk mengeluarkan mana-mana ahli Dewan Rakyat yang ingkar peraturan mesyuarat susulan suasana kecoh ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri memulakan hujah.

Sebelumnya, Nancy melahirkan rasa terkilan terhadap sikap beberapa ahli parlimen pembangkang yang melemparkan pelbagai tuduhan dalam isu perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

“Sedarkah Yang Berhormat sekalian, bahawa tuduhan dan tohmahan yang negara kita akan dijual atau kedaulatan negara digadai membawa makna bahawa ahli-ahli Yang Berhormat menuding jari dan menuduh pegawai-pegawai kerajaan dan perunding kita tidak mempedulikan kepentingan negara dan seolah-olah mereka merunding syarat-syarat yang merugikan negara,” katanya yang disambut bantahan beberapa ahli parlimen pembangkang.

Kemudian beliau meneruskan hujah dengan mendakwa tindakan ahli parlimen pembangkang itu membuatkan pegawai dan Jabatan Peguam Negara di bawah naungannya tersinggung.

“Ini menggambarkan seolah-olah perunding-perunding kita tidak pandai, tiada semangat patriotisme dan sanggup melihat kedaulatan negara jatuh ke negara lain. Ini amat menyedihkan.

“Oleh itu Yang Berhormat, fikirlah dahulu sebelum lantang bersuara, menuduh secara membuta tuli, tidak perlulah berpolitik dan bersandiwara seolah-olah pembangkang sahaja yang sayangkan negara. Manakala kami di pihak kerajaan tidak mempedulikan negara,” katanya.

Suasana semakin gamat apabila ramai ahli parlimen pembangkang bangkit hingga menyebabkan Pandikar memberi amaran.


0 comments:

share2