Syabas kepada Jawatankuasa Khutbah Negeri Selangor yang mampu menyediakan bahan khutbah yang meninggalkan impak di bawah tajuk Pengamal Rasuah Dilaknat ALLAH, Jumaat lalu.
Khutbah mengenai gejala rasuah sudah beberapa kali juga pernah disampaikan di banyak masjid di beberapa negeri. Bagi yang belum eloklah memulakannya.
Khutbah tegas lagi sinis begini bukan sahaja dapat elak jemaah terlena, bahkan menanam rasa malu, kalau pun tidak gentar, dalam kalangan pengamal rasuah yang sudah rasa seronok dengan penyakit sosial yang keji ini.
Antara isi khutbah di Selangor itu berbunyi: “Sampai hatikah pengamal rasuah terus suap makanan haram ke mulut anak isteri yang dikasihi?
“Sampai hatikah pengamal rasuah beri wang haram kepada ibu bapa yang banyak berjasa?”.
Sesungguhnya, pemberian secara rasuah tidak didorong oleh keikhlasan dan tidak bertujuan untuk mencapai keredaan ALLAH.
Ia memetik hadis, yang mengingatkan betapa ALLAH melaknat orang yang memberi dan menerima rasuah, serta yang menjadi perantaraan.
Hadis daripada Abu Hurairah RA menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Islam menganggap rasuah jenayah yang keji sebab ia memberi kesan amat buruk kepada sistem keadilan dan pentadbiran. Ia mengetepikan hak-hak orang lain demi kepentingan diri.
"Jenayah rasuah merupakan budaya jahiliah, yang menunjukkan betapa rendah dan hinanya akhlak dan perangai pelakunya.
Ia merupakan penyakit masyarakat yang terlalu tamak dan pentingkan diri serta menzalimi orang lain."
Perbuatan rasuah, katanya, meliputi amalan meminta, menawar, menerima suapan, tuntutan palsu, atau menyalah guna jawatan, untuk kepentingan diri, keluarga, dan golongan tertentu.
Rasuah boleh dalam bentuk wang atau barangan, seperti tukar tayar kereta, melancong, bayar bil, habuan seks dan ubah suai rumah.
Apa pun, yang jelas sumber daripada rasuah itu adalah kotor, dan haram. Maka setiap jasad yang tumbuh daripada sumber haram, tempatnya adalah neraka.
Ia menyebut bahawa kesejahteraan negara bergantung kepada sejauh mana kualiti diri setiap rakyatnya.
Jika rakyatnya mengamalkan budaya hidup murni berlandaskan ajaran Islam, maka negara akan kukuh dan bertambah maju. Tetapi, jika rakyatnya mengamalkan gaya hidup yang keji seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa, negara akan runtuh dan bertambah mundur.
Pengamal rasuah adalah mereka yang bernafsu besar, atau haloba, mengamalkan cara hidup mewah dan ingin cepat kaya.
Maklumat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan pelbagai peringkat manusia yang didapati terlibat dengan amalan rasuah, termasuk kumpulan pengurusan dan profesional, serta kumpulan sokongan, ahli politik dan orang awam.
Menurut statistik SPRM di Selangor, 61 orang ditangkap berkaitan rasuah pada 2013 dan 39 pada 2014.
Kes yang didakwa pada 2013 adalah 35 berbanding 30 pada 2014.
“Walaupun menurun, ia masih serius dan tidak boleh dibiarkan bermaharajalela kerana mereka boleh dianggap sebagai pengkhianat kepada agama, masyarakat dan negara. Mereka juga perompak harta rakyat.”
Amalan rasuah meninggalkan kesan buruk terhadap individu yang terlibat dan pihak-pihak berkuasa, juga terhadap masyarakat dan negara,
Kesan buruk terhadap sesebuah jabatan dan organisasi pula seperti pemusatan kuasa kepada individu sahaja, kuasa budi bicara melebihi peraturan, kehidupan pegawai dan staf amat mewah sehingga terdapat pegawai berani meminta upah secara terang-terangan bagi mempercepatkan proses permohonan.
Kesan buruk terhadap masyarakat dan negara seperti mengakibatkan ketidakadilan disebabkan mengetepikan hak-hak orang lain.
Ia boleh menjejaskan sosial serta kestabilan politik dan keselamatan serta menjejaskan kecekapan, kelicinan dan kelicikan sesuatu pentadbiran.
Rasuah juga boleh meningkatkan kadar inflasi dan jenayah kezaliman dalam masyarakat.
Mereka yang bergelumang dengan kemewahan melalui sumber haram tidak akan selamat hidup di dunia, apa lagi di akhirat, kerana ALLAH mengetahui amalan mereka itu, dan orang lain juga akhirnya akan tahu tentang perbuatan terkutuk itu mereka.
Rasuah adalah suatu kezaliman dan merupakan perbuatan khianat. Mereka akan dibalas oleh ALLAH di dunia lagi dan di akhirat menjadi penghuni neraka.
Ramai rakyat benci pemberi dan penerima rasuah. Mereka tentu alu-alukan khutbah berkesan seperti ini lagi.
0 comments:
Post a Comment