KUALA LUMPUR - Datuk Seri Hasmiza Othman mencabar juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menguji kekuatan dengan Kelantan sebelum kempen Liga Super bermula.
Cabaran itu dilontarkannya sebaik sahaja selesai upacara menandatangani perjanjian penajaan berjumlah RM16 juta untuk dua musim kepada Persatuan Bola sepak Kelantan (KAFA), di sini semalam.
Pengasas syarikat produk kecantikan dan kesihatan Vida Beauty itu, yang lebih dikenali sebagai Dr. Vida berkata, dia berharap Kelantan dapat mengadakan perlawanan dengan salah satu pasukan terbaik tempatan, dan Harimau Selatan adalah lawan paling ideal.
“Saya fikir sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula saya berharap satu perlawanan persahabatan antara Kelatan menentang JDT dapat diadakan. Itu permintaan saya.
“Saya memilih JDT kerana mereka merupakan salah satu pasukan terbaik di negara kita. Jadi apa salahnya kita adakan perlawanan tersebut dengan JDT. Bagi saya menang kalah bukan menjadi agenda utama kerana corak perlawanan juga memainkan peranan penting.
“Walaupun Kelantan agak hambar tahun lepas tapi JDT adalah pilihan terbaik untuk kita adakan perlawanan persahabatan,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani kontrak penajaan bersama Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa.
Kehadiran Dr. Vida dalam arena bola sepak tempatan telah menambah kehangatan menjelang kempen musim ini apabila majlis itu turut dihadiri ratusan peminat Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQP TRW).
Dr. Vida juga telah berjanji angka penajaan mampu melebihi RM20 juta selepas melahirkan komitmennya untuk turut menanggung kos mengubahsuai Stadium Sultan Muhammad IV, aktiviti promosi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Namun 33 syarat yang dikenakan oleh Dr. Vida sebelum bersetuju untuk menandatangani kontrak penajaan tidak didedahkan.
Mengulas mengenai tajaan itu, Annuar menganggapnya sebagai lembaran baharu kepada KAFA dalam menghadapi saingan liga yang lebih kompetitif dan dia berharap isu tunggakan gaji pemain tidak akan timbul seperti yang dihadapi pada tahun lalu.
“Kami mengakui mengenai isu tersebut (tunggakan gaji) dan tidak perlu disembunyikan lagi. Tahun 2015 kami mengalami banyak defisit, bukan sahaja gaji pemain dan jurulatih (tertunggak) malah cukai serta caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).
“Penajaan yang kami terima ini boleh dianggap (jumlah) selesa. Kami akan memberi surat dan akan membuat pembayaran (gaji tertunggak) secara berperingkat-peringkat. Semua ini dipersetujui hasil mesyuarat exco KAFA dan kami akan membuat susunan semula terhadap pembayaran tersebut. Kami juga akan mengeluarkan surat hitam putih kepada pemain sebagai bukti,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/dr-vida-cabar-jdt-1.180002#sthash.gaIdH8Qb.dpuf
0 comments:
Post a Comment