SARAWAK - Kerajaan negeri menyokong pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kerana ia merupakan sebahagian daripada sistem perdagangan global yang tidak boleh dipinggirkan.
Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata, negara tidak boleh memencilkan diri dalam perkara itu yang hanya akan merugikan dalam membuka lebih luas pasaran dan meningkatkan daya kompetitif dalam ekonomi.
“Pada akhirnya, kita tidak mempunyai pilihan, ia bagus untuk negara.
“Dalam dunia globalisasi dan perhubungan meluas, ia perlu mempunyai sistem pasaran terbuka dan sejarah Malaysia dari zaman dahulu sentiasa menjadi sebuah negara perdagangan,” katanya pada Sesi Penerangan TPPA oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Setiausaha Kerajaan negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.
Sesi penerangan itu dihadiri menteri dan menteri muda negeri di samping ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.
Mengulas lanjut, Adenan berkata, bagi keistimewaan bumiputera, kerajaan telah berjaya membuatkannya sebagai pengecualian seperti polisi dasar ekonomi baru dan tidak mengganggu soal tanah seperti hak adat bumiputera (NCR) di negeri ini.
Sementara itu, Mustapa memberitahu, dari segi hak negeri, kerajaan tidak membuat sebarang komitmen dalam perkara yang mungkin memberi kesan kepada hak dan bidang kuasa kerajaan negeri contohnya syarat-syarat berkaitan dengan transaksi dan pemilikan tanah, pemerolehan kerajaan di negeri dan kerajaan tempatan serta semua perusahaan milik negeri (SOE). - Sumber
0 comments:
Post a Comment