Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 30, 2015

[TEMERLOH] KESAL PENGORBANAN TAK DIHARGAI


Kesal pengorbanan tak dihargai


Seorang bekas anggota pasukan keselamatan ketika zaman darurat Home Guard mendakwa tidak pernah menerima sebarang wang ihsan walaupun ada dalam kalangan rakan-rakannya telah menerima bantuan diberikan kerajaan itu.

Ali Awang Lela, 79, dari Kampung Paya Batu di sini berkata, dia menganggotai Home Guard bagi kawasan penempatan sekitar Kampung Belengu selama 10 tahun bermula 1950 hingga 1960.

Menurutnya, empat tahun lalu kerajaan mengumumkan anggota pasukan keselamatan terdiri daripada Special Constable (SC), Home Guard diberikan bantuan RM3,000 daripada kerajaan.

“Saya kemudian merujuk perkara ini kepada Persatuan Bekas Polis Malaysia cawangan Temerloh dan menghantar dokumen lengkap untuk mendapatkan wang itu.

“Saya masih ingat, masa saya isi borang untuk permohonan bantuan tabung amanah warisan polis (TAWP) saguhati kepada bekas polis yang berkhidmat semasa zaman darurat.

“Tapi sampai sekarang, saya masih belum dapat sebarang wang ihsan atau saguhati daripada kerajaan sebanyak RM3,000 seperti yang diumumkan dahulu,” katanya sewaktu ditemui uzur di rumah anaknya di sini.

Ali diziarahi Ketua Umno Bahagian Temerloh, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin bersama Biro Tugas-Tugas Khas Umno Temerloh dan Jabatan Hal Ehwal Khas Temerloh.

Ali berkata, sejak dari tempoh itu sudah dua kali dia mendedahkan mengenai perkara itu menerusi akhbar namun sehingga kini masalah belum selesai.

Menurutnya, dengan keadaan semasa yang uzur akibat strok setahun lalu dia kini tinggal bersama anaknya, Abd Aziz, 54, di Kampung Paya Batu.

Katanya, sepanjang berkhidmat sebagai anggota Home Guard, dia menjalani latihan dan dibekalkan dengan senjata api dan peluru.

"Dalam tempoh seminggu saya dihantar bertugas di hutan Bera.

“Saya masih ingat, di situ terlalu ramai komunis, kami dibekalkan dengan senjata api, masuk hutan tebal dan memburu komunis,” katanya.

Ali berharap sekiranya tidak ada sebarang masalah wang ihsan kerajaan itu dapat digunakan sebagai belanja dalam keadaan dia yang uzur sekarang.


0 comments:

share2