Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 30, 2015

HATI EMAS CIKGU SIDEK


Hati emas Cikgu Sidek


“Hey Sidek! You better go back to kampung, tanam kacang lagi baik,” herdik guru Matematik sambil membaling buku latihan ke lantai.

Dengan menahan rasa malu dan rendah diri di hadapan rakan sekelas, pelajar tingkatan dua itu memungut bukunya.

Beliau sedar asal-usul keluarga miskin dari kampung dan kelemahan menguasai subjek Matematik dan Bahasa Inggeris menyebabkan beliau sering dihina dan dimarahi.

Inilah cetusan awal Prof Datuk Dr Sidek Baba, 70, bagi membuktikan suatu hari nanti beliau akan menjadi manusia berguna.

Buku Seteguh Tekad terbitan Alaf 21 juga menceritakan kehidupan beliau sebagai Anak kelahiran Kampung Pulau, Masjid Tanah Melaka hampir keciciran pelajaran kerana kemiskinan.

Namun pertemuan Guru Besar Sekolah Umum Jeram, Ab Rahman Hashim yang berjumpa arwah bapa Sidek, Baba Maakip, telah membuka jalan untuk meneruskan pelajaran ke Sekolah Menengah Inggeris, Gajah Berang, Melaka.

Gigih timba ilmu

Sidek pernah berbasikal lebih 60 km ke sekolah menengah bila tidak mampu beli tiket bas, buku dan bayar yuran sekolah. Beliau yang dibantu arwah datuknya, Tuk Hitam dan abangnya, Ninggal dari segi kewangan, digelar 'budak petai' kerana mencari duit poket dengan menjual petai datuknya.

Selepas peperiksaan MCE dengan Gred 3, Sidek diterima melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Perguruan Sultan Idris, 1966 -1967).

Sewaktu menjadi pendidik, beliau mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia tujuh kali untuk mendapatkan sijil penuh sebelum melangkah ke menara gading.

Beliau menerima ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu di Universiti Melaya (UM, 1979); Diploma Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM, 1985); Sarjana Sains Pendidikan Universiti Indiana, Bloomington, Amerika Syarikat (AS, 1987); dan Doktor Pendidikan (Kajian Dasar Pendidikan), Universiti Northern Illinois, Dekalb, Illinois, AS (1991).

Pakar bidang pendidikan perbandingan ini dilantik sebagai penyelia akademik peringkat sarjana dan doktor falsafah di pelbagai universiti dalam dan luar negara, seterusnya menghasilkan lebih 1,000 kertas kerja, ceramah di lebih 20 negara, penyiaran radio, televisyen, majalah, akhbar, kaset dan CD.

"Menjadi pendidik perlu memiliki rasa kasih dan prihatin terhadap pelajar seperti anak sendiri. Perjuangan untuk memartabatkan ilmu dan berjuang membebaskan diri, keluarga, bangsa dan umat Islam agar menjadi insan terbaik, keluarga contoh dan bangsa model teladan dan umat pilihan menjadi asas perjuangan hidup," nukil Sidek dalam buku biografinya.

Kerja dakwah

Zaman kampus UM, Sidek yang menjadi pemangku Presiden Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUM-1978), mengambil pendekatan menyantuni iaitu dakwah dan tarbiah kalangan siswa untuk menjadi pendakwah dan pemimpin masa depan.

Beliau juga sebagai Ahli Majlis Persatuan Mahasiswa (PMUM), mewujudkan forum, perbincangan, ceramah dan dialog bagi mewujudkan perhubungan dua hala terjadi dengan pemimpin dan pihak berkaitan. 

“Melalui Latihan Kepimpinan Islam Universiti Malaya (Lakium), kami membina agenda jangka panjang untuk memberi kesedaran kepentingan ilmu, kefahaman Islam, dan pelaksanaan syariat.

“Dari situ, timbul kesedaran mahasiswa mendekati Islam. Siswi mula menutup aurat. Kempen beri salam dan proses dakwah secara berkala melalui ceramah dan usrah di UM turut dicontohi universiti lain seperti UKM dan UPM," katanya.

Bekas editor akhbar Mahasiswa Negara UM ini berkata, kecenderungan siswa dahulu dan sekarang dari sudut jiwa kepembangkangan tidak banyak berubah.

"Manfaatkan zaman belajar untuk mempelajari dan berkongsi. Mahasiswa kena ada idealisme dalam perjuangan tapi perlu menyantuni realiti, dalam dakwah disebut waqi’ supaya wujud keseimbangan.

Perjuangan kita perlu diperkukuh dengan ilmu dan kepakaran, barulah boleh menyumbang secara berkesan,” ujar bekas Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Melaka (1979-1982)

Sidek sebagai pencetus idea dan pelaksana dalam kepimpinan mahasiswa, mendapat bimbingan awal dari Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) sejak 1973.

Bermula sebagai Yang Dipertua Abim Melaka (1976-1985), Ketua Penerangan Abim Pusat (1982–1986); Setiausaha Agung Abim Pusat (1986), seterusnya Naib Presiden Abim Pusat (1992–1996).

Sewaktu belajar di luar negara, Sidek dilantik sebagai Presiden Abim Amerika Utara (1989-1990) dan bergerak aktif untuk memberi ceramah di seluruh Amerika, Kanada, England, Mesir, dan Jordan.

Antara pengalaman pahit tokoh pendidik dan pendakwah ini apabila ditahan di bawah ISA selama 16 hari bermula 21 September 1988. Namun ini tidak menghalang beliau terus berjuang ke jalan yang benar.

“Kini lebih 50 tahun, saya berdakwah. Dakwah dan kerja akademik sebati dalam hidup saya. Pendekatan saya tak suka maki hamun dan labelkan orang. Tetapi saya memfokuskan mendidik membangunkan fikrah/pemikiran untuk beri kesan penghayatan.

Alhamdulillah saya telah menulis 35 buku berkaitan Islam untuk dijadikan pedoman hidup," ujar mantan Timbalan Rektor UIAM (1994-2002) ini, yang ingin menghabiskan sisa usianya dengan berdakwah, menulis dan melakukan penyelidikan.


0 comments:

share2