Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, December 20, 2015

PERPADUAN - BUKAN HANYA PENGABUNGAN DUA PARTI




SHAH ALAM - Pas tetap dengan pendirian tidak akan bergabung dengan Umno kerana menyifatkan penyatuan orang Islam di negara ini bukan berkisar kepada penggabungan dua parti itu semata-mata.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sebaliknya banyak cara lain boleh difikirkan untuk mengembalikan perpaduan orang Islam dan Melayu yang melangkaui kerjasama politik.

“Saya tidak melihat ada jangkaan untuk Pas bergabung dengan Umno, itu satu perkara yang bukan mudah. Tapi kita jangan bercakap atas nama politik, kita bercakap atas nama perpaduan dan kepentingan ummah.

“Dari segi ekonomi, nasib orang Islam. Jangan cakap dari segi Pas masuk Umno atau Umno masuk Pas, tetapi kita cari persamaan yang lebih banyak daripada perbezaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Multaqa Serantau Alumni Al Azhar semalam yang sekali lagi menghulurkan kerjasama kepada Pas.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, sebarang usaha untuk menyatukan umat Islam selaras dengan syariat akan disokong Pas kerana ia merupakan perjuangan parti itu dari dulu.

“Jika ada mana-mana pihak yang ingin laksanakan perkara ini (penyatuan) selaras dengan perjuangan Pas, kita terima. Tapi tak semestinya melalui penggabungan parti,” katanya.

Beliau turut mengesyorkan agar usaha penyatuan umat Islam di negara ini dimulakan dengan penggabungan insitusi yang dianggotai orang Islam.

“Contohnya, kita ada Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim) dan banyak lagi pertubuhan yang berteraskan perjuangan Islam," katanya.

Bagaimanapun, katanya, Pas berpandangan bukan perpaduan orang Islam dan Melayu sahaja yang penting untuk negara, tetapi juga perpaduan kaum lain dan bukan Islam.

“Kalau setiap bangsa bersatu, kita akan dapat selesaikan banyak masalah. Tapi memandangkan orang Melayu adalah majoriti, maka kalau kita dapat bersatu ia satu perkara yang cukup besar kepada negara,” katanya.




0 comments:

share2