Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, December 17, 2015

PENDUDUK DIHANTUI BANJIR KILAT


Penduduk dihantui banjir kilat


Penduduk Kampung Lakota, di sini, menggesa agensi kerajaan berkenaan segera menyelesaikan masalah banjir kilat yang melanda kampung itu setiap kali hujan lebat sejak sekian lama.

Shahrul Aswadi Mohamad, 36, berkata, masalah banjir kilat itu berlaku kerana saluran pembetung sedia ada tidak dapat menampung limpahan air sungai di kampung tersebut.

Menurutnya, saluran pembetung yang terletak di tepi jalan utama itu hanya bersaiz diameter 1.2 meter dan tidak dapat menampung limpahan air sungai, sekali gus menyebabkan air melimpah ke kawasan rumah penduduk.

“Lebih 10 rumah penduduk di kampung ini akan terjejas setiap kali banjir kilat selepas hujan lebat, ada yang melimpah sampai masuk dalam rumah,” katanya, semalam.

Kata Shahrul Aswadi, masalah banjir kilat setiap kali hujan itu sudah lama menghantui penduduk dengan kejadian terbaru berlaku pada pertengahan November lalu.

Dakwanya, masalah itu pernah diadukan penduduk kepada beberapa agensi kerajaan berkenaan, namun sehingga kini masalah itu masih berterusan.

“Pernah sekali selepas masalah ini dilaporkan media, sebuah agensi kerajaan luluskan peruntukan mendalamkan sungai, tapi masalah banjir kilat tetap berlaku kerana punca utamanya ialah saluran pembetung.

“Untuk atasi masalah ini, penduduk cadang ganti saluran pembetung sedia ada dengan saluran ‘U-box’ dan pasang ‘U-box’ di satu lagi lokasi laluan air melimpah,” katanya.

Namun, Shahrul Aswadi mendakwa, cadangan itu ditolak agensi terbabit dengan alasan projek tersebut memerlukan kos tinggi, selain turut melibatkan kerja membelah jalan utama untuk pemasangan ‘U-box’.

“Agensi kerajaan terbabit kata cadangan ini ada masalah nak laksana kerana melibatkan jalan utama, tetapi saya tak tahu apa sebenarnya masalah dimaksudkan.

“Mereka hanya ambil kira masalah mereka, tak ambil kira masalah penduduk yang terpaksa berdepan banjir kilat setiap kali hujan lebat,” katanya.


0 comments:

share2