Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 30, 2015

PENDUDUK BERSIHKAN LONGGOKAN KAYU, ELAK JAMBATAN RUNTUH


Banjir


Tumpat - Lebih 100 penduduk dari empat kampung sanggup meredah arus deras Sungai Kelantan untuk membersihkan timbunan kayu termasuk balak yang tersangkut di bawah jambatan di Kampung Pulau Beluru di sini, bagi mengelaknya daripada runtuh.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Pulau Seratus, Che Ibrahim Husin berkata mereka yang terbabit adalah penduduk Kampung Pulau Seratus, Kampung Haji Nik Mat, Kampung Teluk Renjuna dan Kampung Pulau Beluru yang semuanya terletak di sekitar muara Sungai Kelantan.

"Sampah termasuk kayu dipercayai hanyut ke kawasan berkenaan dari hulu sungai ketika musim tengkujuh ini.

"Selepas melihat longgokan sampah dan kayu yang banyak pagi tadi, saya meminta penduduk kampung bergotong royong membersihkan sampah sarap dan kayu yang tersangkut pada tiang jambatan," katanya ketika ditemui di Kampung Pulau Beluru hari ini.

Kerja-kerja pembersihan itu mengambil masa hampir tujuh jam bermula 8 pagi tadi, dengan 60 penduduk terpaksa berenang untuk menolak sampah sambil dibantu yang lain dari atas jambatan.

Che Ibrahim berkata, jika tidak dibersihkan, jambatan itu berkemungkinan runtuh dan menyukarkan pergerakan 1,000 penduduk yang menggunakannya termasuk pelajar ke sekolah di Kampung Teluk Renjuna.

Menurutnya timbunan kayu itu turut membahayakan penduduk dan pengusaha perahu tambang yang berulang alik dari jeti pengkalan Kok Majid untuk ke kampung berkenaan.


0 comments:

share2