Penternak Projek Ternakan Ikan Air Tawar Berkelompok Kampung Pandan 2 di Zon Industri Akuakultur (ZIA) mengambil inisiatif memasang jaring dan membina pagar zink sebagai persiapan hadapi banjir.
Kesemua inisiatif itu dilakukan berikutan tahun-tahun sebelumnya kolam tersebut turut ditenggelami banjir.
Ketua Unit Projek Ternakan Ikan Air Tawar Berkelompok Kampung Pandan 2, Abdul Manaf Khalid Ahamad berkata, melihat situasi pada masa kini beliau positif banjir besar tidak akan berlaku.
Bagaimana pun katanya, 36 peserta yang aktif membuat persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Saya ada dua kolam, satu dikosongkan dan satu lagi mempunyai ikan, namun ada jaring disediakan untuk mengelak ikan terlepas apabila banjir.
“Pengalaman banjir tahun sebelumnya membuatkan kami mengambil langkah berjaga-jaga kerana tidak mahu mengalami kerugian seperti beberapa tahun lalu,” katanya.
Bagi Kamaruzzaman Bakar, 55, pula, dia sanggup mengeluarkan modal untuk memasang pagar zink di sekeliling kolamnya.
Dia membuat persediaan dengan membina pagar zink dengan kos lebih RM3,000 di kolamnya bagi mengelak ditenggelami banjir.
“Kita perlu siap sedia lebih awal kerana seperti dua tahun kebelakangan ini, kolam ini antara yang dilanda banjir,” katanya yang menternak ikan kelah, tilapia dan ikan puyu sejak beberapa tahun lalu.
Berdasarkan pengalaman tahun lalu, kolamnya tidak teruk dilanda banjir walaupun sedikit terjejas.
“Saya harap dengan persiapan yang dilakukan dapat mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Pada tahun 2012 dan 2013 penternak ikan air tawar itu mengalami kerugian apabila kolam mereka ditenggelami banjir menyebabkan ikan yang diternak terlepas.
0 comments:
Post a Comment