Tindakan segelintir pemandu termasuk pemandu lori bauksit yang terus berdegil melanggar peraturan jalan raya memakan diri apabila ramai antara mereka terjerat dalam operasi bersepadu Jabatan Ketenteraman Awam/Trafik Negeri Pahang bersama agensi penguatkuasaan negeri di sini, petang kelmarin.
Hasil operasi sekatan jalan raya yang diadakan selama dua hari di dua lokasi berasingan di Jalan Pintasan Sungai Ular menghala pelabuhan dan di Kilometer 21 Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan berhampiran Sirim mendapati, sebanyak 20 lori disita manakala 109 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam/Trafik Negeri, Superintendan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, operasi itu bertujuan mengesan pemandu yang melakukan kesalahan jalan raya sebagai langkah pencegahan bagi mengekang kemalangan melibatkan kematian khususnya di Jalan Pintasan Kuantan.
Menurutnya operasi turut memberi tumpuan mengesan lori muatan bauksit yang tidak patuh peraturan jalan raya.
“Sekatan jalan raya dua hari itu turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.
Mohamad Noor berkata, pihak trafik mengeluarkan 109 saman atas pelbagai kesalahan biasa yang sering dilakukan pemandu dan penunggang termasuk memandu tanpa lesen, tiada cukai jalan dan gagal pamer pelekat P.
“Dalam operasi sama, kita berjaya mengesan dan memberkas seorang lelaki warga tempatan yang dikehendaki polis di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
“Sementara itu, lapan daripada 18 lelaki tempatan yang diperiksa ditahan kerana positif dadah,” katanya.
Beliau berkata, pihak PTG dan SPAD bertindak menyita 20 lori yang didapati melakukan kesalahan di bawah bidang kuasajabatan tersebut.
“Selain dari tindakan saman, operasi melibatkan lebih 100 anggota termasuk pegawai pelbagai agensi turut mengambil pendekatan secara advokasi bagi mendidik pemandu terutama pemandu lori terhadap kepentingan patuh peraturan jalan raya," katanya.
0 comments:
Post a Comment