Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, December 25, 2015

[KUANTAN] 'ANAK HANYA MAMPU MENGENGSOT'


'Anak hanya mampu mengengsot'


"Disebabkan penyakitnya itu, dia (Siti Nur Ain Maisarah) hanya mampu mengengsot dan bergantung pada kerusi roda untuk bergerak.

“Malah dia perlu menjalani rawatan setiap tiga bulan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur. Bagaimanapun rawatan itu ditangguhkan sejak kejadian dia disambar api."

Demikian luah ibu kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Abdullah, Siti Nur Ain Maisarah Fairuszlan, 8, yang menghidap penyakit tulang rapuh sejak lahir selain mengalami kesan melecur selepas disambar api pelita minyak tanah, dua tahun lalu sehingga menyebabkannya tidak boleh bercakap dengan sempurna.

Bagi Siti Noor Badariah Mohd Nor, 38, sungguhpun begitu besar dugaan terpaksa ditanggung anaknya yang masih belum mengerti erti kehidupan itu, namun dia reda dan sentiasa berada di sisi anaknya walau apa berlaku.

Siti Noor Badariah yang juga seorang ibu tunggal berkata, anak ketiga daripada empat adik-beradik itu mengalami patah tulang sebanyak 12 kali termasuk patah paha ketika dalam kandungan akibat penyakit dihidapinya itu.

Menurutnya, tanpa diduga dalam kejadian pada Ogos dua tahun lalu iaitu dua hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri, anaknya itu melecur sebahagian badannya termasuk muka selepas pelita yang dibawa sepupunya terjatuh ke badan kanak-kanak terbabit.

Siti Nur Ain Maisarah kemudiannya dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selama dua bulan dan mengambil masa setahun untuk sembuh sepenuhnya.

“Dia akan menjalani pembedahan plastik di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH), Temerloh pada Mac tahun depan.

“Menurut pakar, pembedahan itu bagi memulihkan wajah anaknya terutama di bahagian mulut kerana kanak-kanak terbabit tidak dapat bercakap dan makan dengan sempurna akibat kesan melecur pada anggota berkenaan sekali gus mengganggu rutin hariannya,” katanya yang bekerja sebagai kerani.

Siti Noor Badariah berkata, dia bernasib baik kerana anaknya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan selain kos pembedahan itu juga akan ditanggung pihak berkenaan.

“Bagaimana pun, saya sangat memerlukan bantuan membeli kerusi roda automatik bernilai RM7,000 bagi memudahkan pergerakannya terutama ketika berada di sekolah,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Siti Noor Badariah di talian 017-9034919.


0 comments:

share2