Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, December 17, 2015

[KUANTAN] 33 NELAYAN DARAT DAPAT ELAUN


33 nelayan darat dapat elaun


Seramai 33 nelayan darat daerah Kuantan menerima elaun sara hidup sebanyak RM200 setiap seorang bagi meringankan beban sepanjang musim tengkujuh ini.

Pengarah Perikanan Pahang, Adnan Hussin berkata, elaun itu sebagai bukti kerajaan serius membantu rakyat yang ketika ini sedang menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Menurutnya, ketika musim tengkujuh, cabaran bukan sahaja dihadapi oleh nelayan darat tetapi nelayan laut turut terkesan kerana hasil laut tidak dapat diraih seperti biasa.

“Nelayan merupakan antara kerjaya yang merbahaya dalam di dalam dunia ini kerana mereka tidak mempunyai ketentuan rezeki yang tetap seperti orang lain.

“Lebih–lebih lagi, ketika musim tengkujuh di mana mereka tidak boleh turun ke sungai ataupun laut berikutan cuaca, ombak besar dan air pasang,” katanya.

Di samping itu juga, beliau menjelaskan, bekalan ikan akan terus menjadi cabaran yang besar pada masa hadapan berikutan perubahan iklim, faktor pengeluaran yang terhad, kenaikan harga input, persaingan bahan makanan untuk pengeluaran bio-tenaga dan liberalisasi perdagangan.

Adnan berkata, kesinambungan bekalan ikan bergantung kepada daya maju aktiviti ini untuk menjamin pendapatan nelayan dan penternak ikan.

“Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah memaparkan kesungguhan kerajaan membangun sektor perikanan yang secara langsung dapat memberi manfaat kepada golongan nelayan dan penternak akuakultur.

"Jika sebelum ini hanya nelayan darat sahaja yang menerima elaun, tetapi perdana menteri telah mendengar suara hati nelayan darat yang turut terkesan dengan situasi semasa dan seterusnya turut memberi elaun kepada golongan ini,” katanya.

Beliau berucap ketika merasmikan Program Penyerahan Sistem Ternakan Ikan Akuaponik dan Penyerahan Elaun Sara Hidup Nelayan Darat di Pusat Biosekuriti Perikanan Tanah Putih, kelmarin.

Elain tersebut akan dikreditkan terus ke akaun Agro Bank masing-masing dengan nilai keseluruhan sebanyak RM6,600.

Secara keseluruhan, terdapat 750 nelayan darat di seluruh negeri Pahang.


0 comments:

share2