Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, December 29, 2015

IBARAT DIPENJARA DI RUMAH SENDIRI


Ibarat dipenjara di rumah sendiri


Ipoh – Bukan sahaja terpaksa berdepan dengan kesesakan di kawasan perumahan mereka setiap hari, penduduk di Taman Saikat di sini mendakwa mereka berasa seperti dipenjara di rumah sendiri.

Difahamkan, penduduk terbabit sukar keluar masuk ke rumah mereka sejak taman perumahan terbabit dikawal oleh pengawal keselamatan.

Apa yang menimbulkan kemarahan, penduduk dihalang meletakkan kenderaan di luar rumah kerana didakwa mengganggu danmenghalang lalu lintas.

Terbaru, ada penduduk digesa membuka khemah yang sebelum itu digunakan untuk satu majlis perkahwinan ,semata-mata untuk memberi laluan kepada orang luar khususnya mereka yang mahu mengunjungi kawasan rekreasi berhampiran .

Tinjauan Sinar Harian di Taman Saikat kelmarin mendapati lalu lintas kawasan itu sesak kerana menjadi laluan utama orang ramai yang mahu mengunjungi resort berhampiran.

Keadaan itu mengundang ketidakselesaan dalam kalangan penduduk khususnya yang sudah lama tinggal di situ yang semakin hilang sabar kerana terpaksa berdepan dengan kesesakan lalu lintas.

Pergerakan jadi terbatas

Penduduk, Roslan Ahmad, 60, berkata, masalah itu sudah lama dihadapi mereka dan tiada sebarang tindakan diambil pihak berkaitan untuk mengatasinya.

Menurutnya, pergerakan keluar masuk penduduk di situ menjadi terbatas.

"Setiap hari kami hadapi masalah sama. Nak keluar masuk rumah bukan main susah. Nak parkir depan rumah sendiri pun kena hati-hati.

"Kawasan sini pun dah jadi macam jalan besar pula. Kita beli rumah nak duduk dalam suasana aman dan tenteram. Tapi sini bising, sesak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Muzaffar Razman, 44, pula berpendapat, pihak pengurusan resort terbabit tidak sewajarnya menjadikan kawasan perumahannya sebagai laluan utama ke tempat itu.

"Tak tahu apa wajarnya mereka buat laluan masuk ikut taman perumahan ini. Tak ada jalan lainkah untuk ke situ (resort)? Kenapa pula taman itu boleh wujud di situ?

"Kami harap perkara ini diberi perhatian serius oleh pihak berkenaan. Sampai bila keadaan akan terus macam ini," katanya.

Seorang lagi penduduk, Nesha Mohd, 46, berkata, masalah trafik di situ dilihat semakin serius hingga mengakibatkan penduduk hidup dalam kegelisahan apabila tidak lagi bebas keluar masuk walaupun dari rumah sendiri.

Menurutnya, perkara itu turut memberi kesan kepada kanak-kanak yang mahu bermain-main di luar.

"Kawasan dan makin sesak. Macam duduk di tengah bandar pula. Anak-anak pun dah tak bebas bermain di luar sebab banyak kereta, bas dan lori keluar masuk ke kawasan ini," katanya.

Zuhalini Zakaria, 38, berkata, dia suakr untuk ke surau berhampiran kerana keretanya dihalang oleh kereta yang diletakkan di hadapan rumahnya.

Menurutnya, situasi lebih teruk pada hujung minggu dan cuti umum.

"Saya harap selepas ini ada jalan lain dapat dibuat untuk memudahkan orang ramai yang mahu ke sana (resort)," katanya.

Foo Yoke Loon, 54, pula mendakwa sering ditahan biarpun ketika mahu masuk ke kawasan rumahnya sendiri.

Menurutnya, dia sering bertengkar dengan pengawal di situ sebelum dibenarkan masuk ke kawasan perumahannya.

"Saya harap satu jalan baharu dapat dibuat di sini supaya penduduk dapat keluar masuk ke rumah sendiri dengan tenang," katanya.

Mahu jalan alternatif dibina

Dalam pada itu, Pengerusi Taman Saikat, Surindar Singh yang mewakili penduduk terlibat membuat laporan di Balai Polis Sungai Rapat, kelmarin berhubung masalah itu .

Surindar berkata, kewujudan resort itu mengganggu privasi penduduk taman terbabit.

“Kami tuntut supaya laluan ke resort yang melalui taman ini ditutup kepada semua kenderaan. Kalau boleh wujudkan laluan lain,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penganut Agama Buddha Qing Xin Ling Ipoh, Cheng Swee Kiat, berkata, pihaknya terpaksa meminta orang ramai yang mahu berkunjung ke resort berkenaan supaya melalui kawasan perumahan di Taman Saikat kerana tidak mempunyai pilihan lain.

Menurutnya, tindakan meletakkan pengawal di situ adalah untuk memastikan kelancaran keluar masuk kenderaan, terutamanya kepada pengunjung yang mahu mengunjungi kawasan rekreasi berkenaan.

“Kita tak ada jalan lain untuk masuk ke sini. Sebab itu kita lalu di sini (kawasan perumahan). Kita pun sudah minta buat jalan, tapi sampai sekarang belum dibuat,”

“Kawasan ini satu kawasan pelancongan. Ramai orang yang datang sini. Sebab itu kita mahu jalan terus masuk sini (taman rekreasi),” katanya.

Mengulas mengenai aduan penduduk itu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memaklumkan, perkara berkenaan akan diberi perhatian dan disiasat dengan rapi sebelum sebarang tindakan susulan diambil.


0 comments:

share2