Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, December 31, 2015

HILANG DI HUTAN ANTARA INSIDEN SEDIH 2015


hilang


Kehilangan tujuh murid Orang Asli di Pos Tohoi, Gua Musang Kelantan selama 46 hari antara kisah duka yang membabitkan insiden sesat di hutan yang berlaku pada tahun 2015.

Mirsudiar Aluj, 11, Noreen Yaacob, 10, Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Haikal Yaacob, 8, Linda Rosli, 8 dan Juvina David yang berasal dari Pos Tohoi dilaporkan melarikan diri daripada asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka didapati mandi di sungai tanpa kebenaran.

Operasi mencari dan menyelamat kesemua murid terbabit hanya membuahkan hasil selepas 46 hari operasi dan hanya Misudiar Aluj dan Noreen Yakob ditemui selamat dalam keadaan kurus kering serta tidak bermaya di Sungai Perias 500 meter dari lokasi mereka dipercayai hilang sementara lima rakannya yang lain meninggal dunia.

TURUT mendapat liputan hangat media adalah kes kehilangan guru besar Sekolah Kebangsaan Taman Keramat Satu, Jashiah Rabu, 53, telah memasuki lebih dua bulan namun masih tiada petunjuk baharu berkenaan lokasi beliau berada.

Ibu kepada empat anak itu kali terakhir dilihat jirannya keluar dari rumahnya di Taman Seri Seruling pada 23 Oktober lepas dan difahamkan menghala ke kawasan Hutan Simpan Bukit Kutu dengan berjalan kaki dan menumpang kereta orang lain sejauh kira-kira 10 kilometer.

SEMENTARA itu, dua pemuda dilaporkan hilang ketika mencari kayu di kawasan hutan Bukit Jabal di Dungun sejak 17 Mei akhirnya ditemui selamat lima hari kemudian.

Mohd Faizal Abdul Wahab, 29 dari Kampung Che Lijah, manakala rakannya, Mohd Norfarhan Mustaffa Harun, 28 dari Kampung Bukit Lat buntu dan keletihan untuk mencari jalan keluar dengan meredah bukit namun hanya menemui kawasan paya yang sama.

Mangsa hanya mengalas perut dengan memakan umbut palas dan meminum air daripada akar pokok untuk memberikan tenaga selama lima hari terperangkap di dalam hutan berkenaan.

LAGI laporan hilang di hutan membabitkan dua remaja ketika merentas Hutan Simpan Ayer Hitam di Taman Wawasan 5 dekat Puchong 15 September lalu berakhir tragedi apabila kedua-dua remaja sesat hampir 15 jam sebelum ditemui dalam keadaan keletihan.

Sinar Harian difahamkan, mangsa Syah Muhammad Yusuf Shahbadul, 19, dan Muhammad Helmee Mustapa, 20 yang pertama kali masuk ke hutan simpan berkenaan menuju ke lokasi air terjun untuk menikmati keindahan alam semula jadi namun buntu dan gagal mencari jalan keluar selepas meminum seteguk air terjun terbabit.

Hutan Simpan Ayer Hitam adalah kawasan larangan kepada orang awam dan beberapa individu pernah dilaporkan sesat di kawasan sama.

DI Negeri Sembilan, seorang pelajar sebuah kolej yang mendaki Gunung Datuk, Rembau secara berseorangan sesat selepas gagal menemui jalan keluar semasa menuruni gunung berkenaan pada 29 September lalu.

Mangsa yang dikenali sebagai Azman, 30, pada mulanya akan mendaki gunung berkenaan bersama 19 rakannya yang lain, namun ketika tiba seperti waktu dijanjikan, tiada seorang rakannya itu hadir malah mesej WhatsApp kepada mereka turut tidak berbalas menyebabkan dia mengambil keputusan mendaki seorang diri.

Dia kemudian menelefon pihak berkuasa selepas gagal menemui jalan pulang dan berjaya ditemui pada 9.15 malam pada hari yang sama.

GARA-GARA menggunakan laluan sendiri ketika mendaki puncak Bukit Jambul, Pulau Pinang 12 Oktober lalu, seorang lelaki tersesat hampir 15 jam.

I Som Chay, 26, tersesat hampir 15 jam dipercayai mendaki seorang diri dan tidak dapat mencari jalan keluar kerana keadaan semakin gelap.

Mangsa yang menghubungi pihak polis selepas gagal menjumpai jalan turun berjaya diselamatkan 9.55 pagi keesokan harinya.

SELAIN itu, seorang warga emas ditemui dalam keadaan selamat selepas dilaporkan hilang di hutan pusat Rekreasi Ulu Chepor di Ipoh pada 29 November lalu.

Foo Wan Thot, 80, ditemui pasukan bomba dan penyelamat ketika mereka sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat bersama pasukan keselamatan yang lain.

Warga emas terbabit dipercayai sesat ketika melakukan ‘jungle trekking’ di hutan pusat rekreasi tersebut.

SEMENTARA itu, seorang pencari petai yang tersesat kira-kira 18 jam di Bukit Haji Omar, Kampung Belau, Merbok, Kedah berjaya menemui jalan pulang setelah menyusuri paip air bukit yang menghubungkan sebuah perkampungan, 6 November lalu.

Mangsa, Abdullah Ali, 57, keluar seorang diri untuk meninjau dusun petai di kawasan berkenaan gagal mencari jalan keluar hampir sembilan jam.

Menurutnya, semua arah yang dilaluinya hanya ternampak sisa pokok-pokok tumbang menyebabkan dia gagal untuk mencari arah untuk pulang.

Dia bagaimanapun hanya berjaya pulang selepas menyusuri paip air bukit di hutan berkenaan sebelum ditemui dalam keadaan keletihan dan kelaparan oleh penduduk kampung.


0 comments:

share2