KUALA LUMPUR - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau dapat 
'menghidu bau' dalang yang cuba mempergunakan pemimpin akar umbi untuk menjejaskan 
kepimpinan parti itu.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, dalang tersebut mempergunakan ketua-ketua 
cawangan Umno untuk mencampuri urusan parti itu termasuk mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak
supaya meletakkan jawatan.

"Kita fikir eloklah dalang berkenaan sama ada dalang yang nampak atau tidak nampak mengikut 
perundangan sedia ada.

"Saya tidak berhasrat untuk menghentak hati mana-mana pihak, (kerana) Umno hidup dan terus 
relevan, perkara ini harus dihormati oleh semua ahli dan kepimpinan Umno," katanya kepada 
pemberita selepas merasmikan Forum Ekonomi Peringkat Tinggi Malaysia-China, di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan 34 ketua Cawangan Umno dari lima negeri mendesak secara terbuka agar 
Najib meletak jawatan sebagai Presiden Umno.


[ ARTIKEL BERKAITAN: Umno cawangan ugut undurkan presiden ]


Perkara itu diumumkan ketua cawangan Umno Taman PD Utama, Mohd Isa Mohd Yasin selepas
kesemua 34 orang dari Negeri Sembilan, Selangor, Johor, Perak dan Sabah mengadakan satu
pertemuan, di Port Disckson, semalam.

Ini kerana mereka sudah hilang kepercayaan terhadap kredibiliti Najib memimpin parti itu.

Mohd Isa juga mendakwa pihaknya mendapat sokongan hampir 5,000 ketua cawangan lain di seluruh negara dan bercadang untuk mengadakan himpunan besar-besaran bulan depan.

Bagaimanapun lokasi untuk perhimpunan itu masih belum ditetapkan.

Terdahulu, seramai 13 ketua cawangan Umno sekitar kawasan Telok Kemang turut mendesak Najib 
berbuat demikian, pada bulan lalu.

Manakala Rabu lalu pula sekumpulan pemimpin akar umbi Umno yang mendakwa mewakili 20 
cawangan Umno di Sepang turut menggesa perkara yang sama.