Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 5, 2015

WARIS MAHU HUKUMAN SETIMPAL


Waris mahu hukuman setimpal


Ipoh - Ahli keluarga individu yang dipercayai menjadi mangsa pembunuhan kejam di Jalan Pahang, di sini mahu hukuman setimpal dikenakan ke atas mereka yang terlibat.

Abang kepada seorang daripada mangsa, Ng Chee Meng, 47, berkata, perbuatan bunuh, bakar dan membuang abu mangsa ke dalam sungai adalah sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan.

“Kenapa boleh jadi begitu, mereka buat mangsa sama macam binatang saja,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Chee Meng berkata, adiknya, Ng Ah Leng, 36, merupakan pekerja di bengkel suspek utama berusia 57 tahun itu, hilang tanpa dapat dikesan sejak Oktober 2012 lalu.

Menurutnya, sebelum hilang, mangsa yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik ada memenangi wang loteri berjumlah RM5,000 dan berjanji mahu memberi sebahagian daripadanya kepada ahli keluarga.

“Bila adik saya tanya berkenaan wang itu, dia beritahu sudah beri sebahagiannya kepada suspek.

“Malah suspek sebelum ini pun ada hubungi kami, beritahu kononnya adik saya sudah tidak datang ke bengkel sedangkan wang gaji dan kunci bilik sudah diambil.

“Mungkin itu helah dia, jadi saya harap hukuman setimpal akan diberikan kepada mereka yang terlibat,” katanya.


Syak motif dendam

Dalam pada itu, Karamjit Singh, 54, yang merupakan abang seorang daripada mangsa tidak menolak kemungkinan, kes pembunuhan ini ada kaitan dengan motif dendam.

Menurutnya, adiknya, Jasbeer Singh, 46, yang merupakan seorang ejen hartanah pernah memberitahu mempunyai urus niaga jual beli tanah dengan seseorang.

Katanya, mangsa sebelum ini pernah didesak supaya menjual tanah dengan harga murah, namun ia tidak dipersetujui.

“Adik saya tidak setuju kerana dia cuma tolong jual saja, jadi tak boleh nak jual dengan harga murah.

“Mungkin orang itu adalah suspek, dan kerana tidak mahu menjual tanah, suspek mungkin membalas dendam untuk membunuhnya,” katanya.


Kerap datang rumah

“Kalau saya tahu dia ada niat jahat, saya tak benarkan dia rapat dengan mak,” kata Raja, 47, anak tiri kepada seorang wanita yang dipercayai menjadi mangsa pembunuhan kejam sebuah keluarga di Jalan Pahang, di sini.

Raja berkata, kes kehilangan ibunya dilaporkan pada 2014 lalu dan sejak itu, tiada sebarang petunjuk ditemui sehinggalah ia dikaitkan dengan pembunuhan terbabit.

Mangsa, Gunavathi, 56, merupakan pengusaha bas persiaran dilaporkan hilang pada 1 Mac 2014.

Raja berkata, ibu tirinya boleh dikatakan seorang yang berada dan mempunyai kira-kira enam bas.

Katanya, dia mengenali suspek utama itu kerana beberapa kali berkunjung ke kediaman mereka di Kampung Pahang, di sini.

“Dulu selalu juga dia datang sini sembang dengan mak, saya tak rapat dengan dia, cuma kenal macam tu saja.

“Saya dengan mak pun bukan rapat sangat, tapi saya dapat tahu orang tu ada pinjam duit dengan mak,” katanya.

Menurutnya, mangsa seorang yang periang dan selalu menghabiskan masa dengan bercuti termasuk ke luar negara.

Katanya, kaitan Gunavathi dengan kes terbabit secara tidak langsung membersihkan namanya yang sebelum ini dikatakan menjadi punca utama kehilangan wanita berkenaan.

“Ada orang cakap saya yang jadi punca mak hilang, siapa tak sedih, takkanlah saya nak buat begitu.

“Sekarang dah terbukti…tapi dalam masa sama saya geram dengan lelaki itu, kenapa begitu kejam,” katanya.


Polis temui bukti baharu

Polis berjaya menemui beberapa lagi barangan dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kes orang hilang di Tapah yang dipercayai berlaku sejak tiga tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, antara bahan kes yang ditemui termasuk gigi, serpihan tulang, kasut dan pakaian.

“Kesemua barangan tersebut akan dihantar kepada hospital dan Jabatan Kimia untuk tujuan ‘post mortem’ dan analisis DNA,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini tiada tangkapan baharu dibuat dan jumlah mangsa dilaporkan hilang masih kekal empat orang.

Dalam pada itu, semalam polis memulakan kembali rutin siasatan di lokasi kejadian pada jam 9 pagi.

Dua lelaki dipercayai suspek utama berusia 57 tahun dan anak lelakinya berusia 20 tahun yang kini masih direman turut dibawa ke lokasi kejadian.

Kedua-duanya berada di lokasi bagi tempoh hampir tujuh jam bermula sekitar jam 10 pagi sebelum dibawa keluar pada jam 5.30 petang.

Polis yang memperluaskan kawasan siasatan di lokasi kejadian berjaya menemui beberapa lagi barangan dipercayai dapat membantu siasatan berkenaan.

Suspek, seorang mekanik yang menjadi dalang pembunuhan bersiri itu melakukan perbuatan kejam dengan membunuh, membakar sebelum membuang abu mangsa ke dalam sungai.

Kegiatannya itu dibantu anak lelaki berusia 20 tahun dan turut ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan adalah isteri suspek berusia 54 tahun serta seorang lagi anak lelaki berusia 17 tahun.

Difahamkan, kedua-dua anak perempuan suspek masing-masing berusia 23 dan 11 tahun akan diberi perlindungan sementara untuk tujuan keselamatan.


0 comments:

share2